SUBANG JAYA, 22 OKTOBER 2026: Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) terus komited menyokong pembangunan usahawan tempatan melalui penyediaan peluang pasaran bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri kecil dan sederhana (IKS) serta usahawan orang kurang upaya (OKU) mengembangkan perniagaan masing-masing.
Komitmen itu dizahirkan menerusi penyertaan MYDIN dalam Kempen Jom Malaysia: Ikon Lokal anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang bertujuan memperluas peluang pemasaran produk tempatan kepada pengguna.
Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin berkata, akses pasaran merupakan antara faktor penting yang dapat membantu usahawan tempatan meningkatkan jualan dan mengembangkan perniagaan secara mampan.
Beliau berkata, selain menghasilkan produk berkualiti, usahawan perlu memanfaatkan peluang pemasaran, memperkukuh daya saing produk serta memahami keperluan pengguna.
“Bukan mudah untuk usahawan kecil mengembangkan perniagaan. Ada yang mempunyai produk berkualiti dan berpotensi, namun memerlukan peluang untuk memperkenalkan produk mereka kepada pasaran yang lebih luas.


“MYDIN sendiri bermula daripada sebuah kedai papan. Pengalaman itu mengajar kami bahawa peluang, usaha dan kesungguhan merupakan antara elemen penting dalam membangunkan sesebuah perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, MYDIN akan terus menyokong usaha memperluas akses pasaran kepada produk tempatan menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak. Beliau berkata, walaupun MYDIN bukan lagi sebuah perusahaan kecil dan sederhana, syarikat itu memahami cabaran yang dihadapi usahawan tempatan, khususnya berkaitan kos operasi, persaingan pasaran dan usaha meningkatkan jualan.
Sementara itu, seramai 16 usahawan daripada NS Choice dan Halal Kotej Go Global Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan turut mengambil bahagian dalam program berkenaan bagi mengetengahkan produk tempatan dan keunikan Negeri Sembilan kepada pengguna.
Ameer Mydin berkata, kerjasama itu diharap dapat meningkatkan pendedahan terhadap produk usahawan tempatan serta membuka peluang perniagaan yang lebih luas melalui kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti usahawan.
Program itu turut melibatkan Selangor Youth Community bagi memperluas penyertaan tujuh perniagaan golongan OKU dalam bidang keusahawanan dan ekonomi. MYDIN dalam pada itu turut menyumbang baucar tunai RM500 kepada setiap usahawan OKU tersebut.
“Golongan OKU bukan sekadar memerlukan bantuan, tetapi juga peluang untuk membuktikan kemampuan mereka. Dengan akses pasaran dan sokongan yang bersesuaian, mereka berupaya membangunkan perniagaan serta mencapai kehidupan yang lebih berdikari,” katanya.
Karnival jualan sempena Kempen Jom Malaysia: Ikon Lokal berlangsung hingga 25 Oktober ini, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan produk tempatan dan menyokong usahawan yang mengambil bahagian.
MYDIN berharap kempen itu dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik bagi memperkukuh kedudukan produk tempatan di pasaran, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
