Setiap negara mempunyai reka bentuk wang tersendiri yang sudah pasti membezakan wang kertas mereka dengan negara lain.
Ada kalanya, sesetengah wang kertas mempunyai reka bentuk unik sehingga menarik perhatian orang ramai untuk menyimpannya sebagai kenang-kenangan, bukannya digunakan untuk berbelanja.
Begitulah perkongsian @mar.sy4_ yang menceritakan bagaimana beberapa warga Indonesia yang bekerja bersamanya begitu tertarik dengan reka bentuk wang ringgit Malaysia.
Menerusi satu video yang dimuat naik, @mar.sy4_ memaparkan beberapa warga Indonesia sedang meneliti reka bentuk wang kertas RM1 Malaysia dengan penuh perhatian.
Malah, @mar.sy4_ turut memberikan sedikit penerangan mengenai beberapa perkara yang boleh dilihat pada wang kertas tersebut.
Warga Indonesia Teruja Teliti Wang Malaysia

Ketiga-tiga mereka kelihatan begitu tekun meneliti wang RM1 itu, malah turut mengangkatnya ke arah cahaya untuk melihat ciri keselamatan pada wang Malaysia.
“Korang kena tengok ni, suka tengok diorang adore dengan duit ringgit kita. Aku hulur sorang RM1 sebab tu je yang banyak.
“Jangan gaduh-gaduh korang, orang baik dengan kita, kita baiklah dengan orang,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, seorang warga Indonesia turut berkongsi keterujaannya terhadap wang Malaysia kerana tertarik dengan reka bentuknya, termasuk ciri lut sinar yang membolehkan bahagian tertentu dilihat apabila diangkat ke arah cahaya.
“Balik dari bercuti di Malaysia, saya simpan beberapa duit ringgit Malaysia sebab cantik sangat. Ada yang tembus pandangan,” katanya.
Sementara itu, @hafizzhrith menerusi ruangan komen turut berkongsi pengalaman bapanya yang pernah memberikan wang RM20 kepada beberapa warga Indonesia ketika bercuti di negara tersebut.
Menurutnya, pekerja-pekerja di kedai berkenaan begitu gembira menerima pemberian itu kerana mereka sememangnya gemar mengumpul wang Malaysia untuk dijadikan koleksi.
“Haritu borong baju batik kat Indonesia, lepastu bapak saya pulak ni baik giler dia bagi pekerja-pekerja kedai tu duit Malaysia RM20 tak silap sorang, sampai melompat-lompat ye semua suka.
“Kita yang tengok pun suka tengok dorang happy, katanye dorang kumpul duit Malaysia nak buat collection,” kongsi @hafizzhrith.

Malah, seorang lagi warga Indonesia, @nomadicpaint, turut berkongsi pengalaman lucu apabila dia pernah cuba mengeringkan wang Malaysia menggunakan seterika kerana menyangka wang tersebut boleh diratakan seperti wang rupiah.
“Saya pernah ada wang ringgit ketika berada di Malaysia. Masa itu, saya terkena hujan sehingga baju dan wang semuanya basah.
“Jadi, saya cuba menggosok wang ringgit itu menggunakan seterika sampai berkedut kerana menyangka ia sama seperti rupiah yang boleh kembali lurus apabila digosok,” ujarnya.

