Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dominasi Podium Jakarta Vertical Run 2026, Pelari Malaysia Raih Pujian Warga Indonesia

Malaysia Dominasi Podium Jakarta
Kredit: Threads @sangdewi19

Nama Malaysia bukan lagi asing di persada dunia apabila rakyatnya terus mengharumkan nama negara menerusi pelbagai pencapaian dalam bidang masing-masing.

Malah, kejayaan seperti ini bukan sahaja mendapat perhatian rakyat tempatan, malah turut menerima pujian daripada warga negara lain.

Terbaharu, seorang pengguna Threads dari Indonesia, @sangdewi19, memuji kehebatan pelari Malaysia yang mendominasi podium bagi kategori lelaki dan wanita pada acara Jakarta Vertical Run 2026, Ahad lalu.

Menerusi satu hantaran di Threads, dia berkongsi beberapa gambar ketika penyampaian hadiah sambil mendedahkan kejayaan atlet Malaysia yang menguasai hampir semua kategori, termasuk Elite, Open dan Master.

Malaysia Dominasi Podium Jakarta Vertical Run 2026

Lebih mencuri perhatian, pelari Malaysia, Soh Wai Ching berjaya meraih tempat pertama bagi kategori Elite lelaki selepas menamatkan cabaran dalam masa hanya 11 minit 45 saat.

Untuk rekod, peserta perlu menawan bangunan setinggi 385 meter yang mempunyai 106 tingkat dan 2,120 anak tangga dalam acara tersebut.

Malah, Wai Ching turut menyasarkan untuk mencatat masa lebih pantas pada edisi tahun hadapan, iaitu 11 minit 30 saat.

“Pelari Malaysia mendominasi podium hampir di semua kategori bermula dari Elite, Open hingga Master, tak kira lelaki mahupun perempuan di Jakarta Vertical Run 2026,” katanya.

“Kategori Elite lelaki dimenangi Soh Wai Ching yang cuma memerlukan 11 minit 45 saat untuk menakluk 106 tingkat dengan 2,120 anak tangga setinggi 385 meter.

“Spiderman pun boleh rasa rendah diri. Malah, dia menyasarkan untuk menamatkan cabaran dalam masa 11 minit 30 saat tahun depan,” ujarnya.

Dalam hantaran sama, dia turut berkongsi beberapa foto atlet Malaysia yang berjaya menaiki podium sambil mengibarkan Jalur Gemilang atau memegang banner dengan bendera Malaysia.

Bagaimanapun, dia tidak ketinggalan memberikan penghargaan kepada wakil Indonesia yang berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori Elite lelaki meskipun baru pulih daripada kecederaan.

“Peserta lelaki Elite Indonesia mendapat tempat ketiga dalam keadaan masih dalam proses pemulihan selepas kecederaan. Mungkin kalau tidak mengalami kecederaan, dia boleh mendapat tempat kedua,” katanya.

Pada masa sama, dia berpendapat Malaysia mempunyai kelebihan kerana sudah lama menganjurkan acara larian menara atau vertical running, sedangkan Indonesia baru sahaja mula mengembangkan acara berkenaan.

Menurutnya, atlet Indonesia juga mempunyai potensi untuk mencatat pencapaian setanding pelari Malaysia sekiranya diberikan lebih banyak peluang dan platform untuk menyerlah.

“Malaysia memang sudah mempunyai acara tower running atau vertical running tahunan, manakala Indonesia baru sahaja bermula.

“Atlet Indonesia sebenarnya mempunyai banyak potensi untuk menjadi seperti Malaysia. Mereka cuma memerlukan platform yang sesuai.

“Semoga tahun depan giliran atlet Indonesia pula mendominasi podium di negara sendiri,” katanya.

Sumber:Threads
Intipati
  • Pelari Malaysia mendominasi podium Jakarta Vertical Run 2026 dalam kategori Elite, Open dan Master.
  • Soh Wai Ching menjuarai kategori Elite lelaki dengan catatan masa 11 minit 45 saat.
  • Pengguna Threads Indonesia memuji prestasi Malaysia dan melihat potensi besar atlet Indonesia.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan