Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

SUHAKAM, NHRCN Perkukuh Kerjasama Lindungi Hak Pekerja Migran

SUHAKAM
Pengerusi SUHAKAM, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus (kiri) bersama Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal (NHRCN), Hon. Top Bahadur Magar (kanan) menunjukkan dokumen selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SUHAKAM dan NHRCN di Kuala Lumpur, hari ini. Gambar: Haziq Hakimi/ SK

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memperkukuh kerjasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal (NHRCN) bagi menangani isu hak dan kebajikan pekerja migran Nepal di Malaysia.

Kerjasama itu diteruskan menerusi pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Hak Pekerja Migran dan Individu yang Menetap di Kedua-dua Negara untuk tempoh tiga tahun sehingga 23 September 2028.

Pengerusi SUHAKAM, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SUHAKAM dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal (NHRCN) hari ini. Gambar: Haziq Hakimi/ SK

Pengerusi SUHAKAM, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus, berkata pembaharuan MoU berkenaan penting dalam memastikan isu berkaitan hak pekerja migran dapat ditangani menerusi kerjasama lebih tersusun antara kedua-dua suruhanjaya.

Menurut beliau, MoU berkenaan bukan perkara baharu kerana kerjasama SUHAKAM dan NHRCN telah dimeterai sejak 14 November 2019 dan sebelum ini telah diperbaharui sebanyak dua kali.

Katanya, kerjasama tersebut merangkumi perkongsian maklumat, komunikasi dua hala berkaitan aduan, pemantauan bersama, penyelidikan serta aktiviti lain bagi melindungi hak pekerja migran dan individu yang menetap di kedua-dua negara.

“Sepanjang tempoh MoU, SUHAKAM dan NHRCN mengadakan perbincangan secara berkala bagi bertukar maklumat berhubung rujukan aduan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SUHAKAM dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal (NHRCN) di ibu negara, di sini, hari ini.

Jelasnya, antara isu yang diberi perhatian termasuk akses kepada keadilan, usaha menyelamat dan bantuan segera kepada pekerja migran yang terdedah kepada risiko, penghantaran pulang pekerja ke negara asal, perlindungan daripada keganasan dan eksploitasi serta akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Menurutnya, keadaan serta taraf hidup pekerja migran, termasuk isu di pusat tahanan imigresen dan penyampaian maklumat kepada pekerja migran, turut menjadi antara perkara yang dibincangkan secara dua hala.

Dalam pada itu, beliau berkata SUHAKAM amat mengambil berat mengenai kes kematian dalam kalangan pekerja migran Nepal di Malaysia.

Katanya, berdasarkan maklumat Kedutaan Nepal, sebanyak 2,214 kematian direkodkan dalam kalangan warga Nepal antara 2018 hingga Mei 2024, dengan sebahagian besar diklasifikasikan sebagai sebab lain termasuk kegagalan jantung.

Ujarnya, antara punca lain yang direkodkan termasuk bunuh diri, penyakit kronik, faktor berkaitan industri, kemalangan kenderaan bermotor dan COVID-19.

“Situasi ini serius dan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai statistik kerana kehilangan nyawa amat tidak ternilai,” katanya.

Tambah beliau, sejak 2021, SUHAKAM turut menerima 107 aduan berkaitan buruh paksa, dengan 46 daripadanya membabitkan pekerja migran dari Nepal.

Jelasnya, antara isu yang dilaporkan termasuk pasport ditahan majikan, tempoh bekerja sehingga 12 jam sehari selama 30 hari berturut-turut tanpa rehat, gaji tidak dibayar atau lewat dibayar, waktu kerja berlebihan tanpa bayaran kerja lebih masa serta keadaan tempat kerja yang tidak selamat.

Beliau berkata jumlah aduan tertinggi datang daripada sektor perkhidmatan, khususnya membabitkan pekerja kilang dan pengawal keselamatan, diikuti sektor perladangan.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan keperluan untuk memperkukuh penguatkuasaan, pemeriksaan tempat kerja secara berkala serta mekanisme yang lebih berkesan bagi melindungi hak dan kebajikan pekerja migran.

Selain itu, katanya, SUHAKAM turut menjalankan pemantauan ke pusat-pusat tahanan bagi menilai layanan dan keadaan tahanan warga asing termasuk warga Nepal.

Ujarnya, pemantauan berkenaan turut melihat aspek akses kepada penjagaan kesihatan, komunikasi dengan ahli keluarga, bantuan konsular serta akses munasabah kepada wakil kedutaan masing-masing.

Hishamudin berkata, pembaharuan MoU itu akan menjadi asas kepada kesinambungan perbincangan dan kerjasama antara SUHAKAM, NHRCN serta pihak berkepentingan termasuk Kedutaan Nepal dalam menangani isu hak pekerja migran di Malaysia.

Katanya, kedua-dua suruhanjaya turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membincangkan perlindungan sosial untuk pekerja Nepal serta Jabatan Penjara Malaysia berkaitan pelaksanaan mekanisme International Transfer of Prisoners (ITOP).

“Diharapkan usaha ini dapat membawa kepada peningkatan perlindungan terhadap pekerja migran Nepal di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan pekerja migran Nepal di Malaysia yang pernah mengalami atau menyaksikan kemungkinan berlaku pelanggaran hak asasi manusia supaya membuat aduan kepada SUHAKAM.

Intipati
  • SUHAKAM dan NHRCN memperbaharui MoU hak pekerja migran selama tiga tahun.
  • Kerjasama itu merangkumi perkongsian maklumat, aduan, pemantauan bersama, penyelidikan dan bantuan perlindungan.
  • SUHAKAM menerima 107 aduan buruh paksa sejak 2021, 46 membabitkan pekerja Nepal.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan