Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia, China Perkukuh Kerjasama Strategik Dalam Sektor Pengangkutan

KERJASAMA
Kredit: Facebook Kementerian Pengangkutan

Malaysia dan China memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pengangkutan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pengangkutan susulan mesyuarat dua hala antara Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pengangkutan China, Liu Wei di Beijing.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pertemuan itu membincangkan usaha memperluas kerjasama strategik dalam sektor pengangkutan, selain meningkatkan kesalinghubungan, kecekapan dan kemampanan sistem pengangkutan kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu, MoU berkenaan menyediakan kerangka rasmi bagi kerjasama strategik dua hala yang merangkumi sektor pengangkutan darat, rel, maritim, udara serta logistik.

“Antara bidang tumpuan ialah pertukaran kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengangkutan hijau dan pembangunan infrastruktur rendah karbon,” menurut kenyataan itu.

MOT berkata, kerjasama berkenaan dijangka meningkatkan keupayaan Malaysia dalam penggubalan dasar, memperkukuh kecekapan rantaian bekalan serta menarik pelaburan teknologi dari China.

Jelasnya, usaha itu turut dilihat mampu memantapkan peranan Malaysia sebagai hab pengangkutan serantau ASEAN.

Dalam perkembangan sama, Loke turut menyaksikan pemeteraian MoU Kerjasama Keselamatan Penerbangan Awam antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC).

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud dan Timbalan Pentadbir CAAC, Hu Zhenjiang.

Menurut MOT, kerjasama CAAM-CAAC meliputi kelulusan kelayakan, pensijilan dan pemantauan organisasi penerbangan, pelesenan serta pengawasan operasi penerbangan.

“MoU ini akan membantu memperkukuh standard keselamatan penerbangan awam Malaysia, mengurangkan pertindihan proses teknikal serta memudahkan pergerakan produk dan perkhidmatan aeronautik antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Loke turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Pentadbir National Railway Administration of China, Song Xiude.

Pertemuan itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pembangunan dan pengawalseliaan sektor rel, keselamatan operasi, pembangunan kapasiti serta penggunaan teknologi dalam sistem rel.

“Lawatan ini mencerminkan hubungan erat dan matang antara Malaysia dan China serta komitmen kedua-dua negara untuk menterjemahkan hubungan tersebut kepada kerjasama pengangkutan yang praktikal, berimpak tinggi dan saling menguntungkan,” menurut MOT.

Intipati
  • Malaysia dan China memeterai MoU pengangkutan selepas mesyuarat Anthony Loke dan Liu Wei.
  • Kerjasama merangkumi sektor darat, rel, maritim, udara, logistik, AI dan pengangkutan hijau.
  • CAAM dan CAAC turut memeterai MoU bagi memperkukuh kerjasama keselamatan penerbangan awam.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan