Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AADK, CNB Perkukuh Kerjasama Bendung Ancaman Dadah Rentas Sempadan Menjelang Operasi RTS

DADAH
Kredit: Facebook AADK

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura memperkukuh kerjasama strategik serta operasi bagi membendung ancaman dadah rentas sempadan menjelang pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada 31 Disember ini.

Kerjasama itu diperkemas menerusi Mesyuarat Dua Hala AADK-CNB yang berlangsung di sini, hari ini, dengan memberi tumpuan kepada koordinasi operasi serta kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan kedua-dua negara.

Kredit: Facebook AADK

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, bersama delegasi CNB Singapura yang diketuai Timbalan Pengarah (Operasi), Aaron Tang.

Ruslin berkata, pengoperasian RTS Link dijangka meningkatkan pergerakan rentas sempadan secara signifikan, sekali gus memerlukan koordinasi dan kesiapsiagaan lebih mantap bagi memastikan persekitaran yang selamat serta bebas daripada ancaman dadah.

Katanya dalam satu kenyataan, kedua-dua agensi turut memperincikan susunan operasi, mekanisme penyelarasan pegawai serta saluran komunikasi pantas di pintu masuk utama kedua-dua negara.

Menurutnya, lokasi terbabit ialah Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Chagar, Johor dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands North, Singapura.

“Bagi tujuan itu, AADK akan menempatkan pegawai Unit Antidadah Sempadan (UAS) di Bukit Chagar, Johor dan Woodlands North, Singapura.

“Kedua-dua agensi turut meneliti perkembangan trend baharu ancaman dadah rentas sempadan yang semakin kompleks, termasuk penggunaan teknologi dan platform dalam talian, kemunculan bahan psikoaktif baharu (NPS) serta modus operandi penyeludupan terkini,” katanya.

AADK berkata, keberkesanan kerjasama dua hala itu bukan sekadar diukur menerusi perbincangan rasmi, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan susulan yang konkrit dan praktikal oleh pasukan operasi kedua-dua negara.

Dalam pada itu, AADK menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh hubungan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan serantau dalam usaha melindungi kesejahteraan masyarakat serta keselamatan negara daripada ancaman penyalahgunaan dan penyeludupan dadah.

Intipati
  • AADK dan CNB Singapura memperkukuh kerjasama menjelang operasi RTS Link pada 31 Disember.
  • Mesyuarat dua hala menumpukan koordinasi operasi, kesiapsiagaan agensi dan saluran komunikasi pantas.
  • AADK akan menempatkan pegawai UAS di Bukit Chagar dan Woodlands North.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan