Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sarawak, Sabah & Brunei Perkukuh Kesalinghubungan Rentas Sempadan Menerusi Buku Panduan Baharu & Semakan MoU BIMP-EAGA

Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), menerusi Nexus Produktiviti Logistik (LPN), hari ini melancarkan Buku Panduan Operasi Rentas Sempadan bagi Kecekapan Pengangkutan Sarawak-Brunei-Sabah, bertujuan memudahkan pergerakan barangan dan penumpang yang lebih lancar serta cekap di seluruh Borneo.

Buku panduan itu dilancarkan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, bersempena Bengkel Semakan dan Libat Urus Pemegang Taruh Memorandum Persefahaman (MoU) Pengangkutan Darat BIMP-EAGA, yang berlangsung pada 14 hingga 15 Sept di Hotel Pullman Kuching.

Bengkel berkenaan menghimpunkan agensi kerajaan, badan kawal selia, persatuan industri serta pengendali pengangkutan bagi mengkaji semula dua MoU Pengangkutan Darat BIMP-EAGA yang meliputi pergerakan rentas sempadan bas komersial dan bas persiaran serta transit dan pengangkutan barangan antara negeri.

Buku panduan itu menghimpunkan keperluan dan prosedur utama rentas sempadan dalam satu rujukan praktikal untuk pengendali pengangkutan.

Ia bertujuan meningkatkan kejelasan kawal selia, mengurangkan ketidakpastian serta menyokong proses sempadan yang lebih teratur dan boleh dijangka, selain menjadi asas kepada usaha penyederhanaan, penyelarasan dan pendigitalan selanjutnya.

Lee berkata kesalinghubungan rentas sempadan yang cekap penting bagi meningkatkan daya saing ekonomi Sarawak serta memperkukuh integrasi negeri itu dengan ekonomi negara jiran.

“Kesalinghubungan bukan hanya mengenai jalan raya dan infrastruktur. Peraturan, permit, dokumentasi serta prosedur sempadan juga perlu menyokong pergerakan barangan dan orang ramai secara cekap.

“Melalui semakan ini, kita mahu mengenal pasti perkara yang perlu dikekalkan, ditambah baik, dipermudah dan diubah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr Mohamad Norjayadi Tamam berkata peningkatan kecekapan logistik semakin penting ketika Malaysia berusaha mengekalkan pertumbuhan produktiviti negara.

Produktiviti buruh Malaysia mencecah RM104,556 bagi setiap pekerja pada 2025 dengan pertumbuhan sebanyak 4.0 peratus.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), negara menyasarkan produktiviti buruh sebanyak RM122,745 bagi setiap pekerja menjelang 2030, disokong sasaran pertumbuhan produktiviti sebanyak 3.6 peratus.

Sektor logistik pula merekodkan produktiviti buruh sebanyak RM124,646 bagi setiap pekerja pada 2025 dengan pertumbuhan 5.0 peratus, manakala sektor pengangkutan dan penyimpanan mencatat pertumbuhan produktiviti 7.2 peratus pada suku pertama 2026, menunjukkan momentum positif yang berterusan.

“Pencapaian ini menggalakkan, namun produktiviti akhirnya perlu dapat dirasai oleh perniagaan menerusi tempoh pemprosesan yang lebih singkat, kos transaksi lebih rendah, peraturan lebih jelas serta pergerakan barangan yang lebih cekap.

“Inisiatif ini menunjukkan bagaimana reformasi kawal selia serta kerjasama antara industri dan kerajaan dapat menterjemahkan produktiviti kepada penambahbaikan praktikal di lapangan,” kata Mohamad Norjayadi.

Bengkel berkenaan akan mengenal pasti jurang kawal selia dan cabaran operasi serta membangunkan matriks pindaan yang dicadangkan, selain syor dasar dan pelaksanaan serta hala tuju bagi semakan kedua-dua MoU Pengangkutan Darat BIMP-EAGA itu.

Inisiatif tersebut turut menyokong agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) serta Malaysia Productivity Blueprint 2.0 (MPB 2.0) menerusi usaha menangani kekangan kawal selia dan memperkukuh kecekapan logistik, kesalinghubungan serta daya saing serantau.

Intipati
  • MOTS dan MPC melancarkan buku panduan operasi rentas sempadan Sarawak-Brunei-Sabah di Kuching.
  • Bengkel BIMP-EAGA mengkaji semula dua MoU pengangkutan darat berkaitan penumpang dan barangan.
  • Inisiatif itu menyokong reformasi kawal selia, kecekapan logistik dan daya saing serantau.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan