Timbalan Mufti Pahang, Datuk Dr Badli Shah Alauddin mendedahkan beliau menerima aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) susulan ceramahnya yang menyentuh isu generasi 'strawberi'.
Dalam ceramah pada 18 Oktober lalu, beliau meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pihak yang membuat aduan itu, malah memaklumkan tidak mahu menyentuh lagi isu berkenaan.
“Saya tak ada nak cerita strawberi. Saya jadi menyampah nak cerita. Tuan-tuan tahu, saya kena SISPAA tajuk tu. Punyalah teruk masyarakat,” katanya menerusi video yang dimuat naik di saluran YouTube rasminya.
Menurut beliau, pihaknya diberikan masa tiga hari oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk menjelaskan pemilihan tajuk ceramah berkenaan.
Timbalan Mufti Pahang Kena SISPAA

“Saya diberi masa tiga hari oleh pihak SUK untuk jawab kenapa saya ceramah tajuk tu.
“Malas cerita. Memang malas betul. Lantaklah korang jadi buah apa, pun buah sawit ke apa. Lantaklah budak,” ujarnya.
Terdahulu, video ceramah Badli Shah yang mengkritik sikap segelintir golongan muda dan menyifatkan mereka sebagai generasi 'strawberi' tular pada September lalu.
Dalam ceramah itu, beliau menegur kecenderungan sesetengah individu yang menggunakan istilah seperti healing, burnout dan toxic workplace apabila berdepan tekanan atau teguran.
“Sikit-sikit healing, sikit-sikit self reward. Kena tegur sikit, toxic workplace. Kerja banyak sikit burnout. Generasi strawberi, manja.
“Dahlah manja, lembik. Tak boleh ditekan. Salah picit, pecah. Itulah generasi sekarang ni, strawberi!” katanya.

