Pernah tak anda menegur anak orang lain yang melakukan sesuatu yang kurang menyenangkan, tetapi akhirnya anda pula dimarahi ibu bapanya kerana tidak berpuas hati dengan teguran tersebut?
Situasi sebegini boleh mencetuskan pertengkaran apabila teguran dianggap sebagai penghinaan terhadap cara seseorang membesarkan anak, sedangkan perkara itu sebenarnya boleh dibincangkan dengan baik.
Namun, dalam keadaan ini, bukan hanya perasaan ibu bapa atau individu yang menegur perlu diambil kira, malah kesannya terhadap kanak-kanak yang menyaksikan pertelingkahan tersebut.
Menurut Public Health Malaysia, kanak-kanak bukan sahaja belajar melalui nasihat, malah turut memerhatikan cara orang dewasa mengawal emosi, menangani perselisihan dan melayan orang lain.
Perkara ini selari dengan konsep pembelajaran melalui pemerhatian, iaitu kanak-kanak mempelajari tingkah laku dengan melihat tindakan orang di sekeliling mereka, termasuk ibu bapa sendiri.
Pada masa sama, kanak-kanak tetap memerlukan teguran untuk memahami batas pergaulan, menghormati orang lain dan membezakan tingkah laku yang sesuai dengan yang tidak sepatutnya.
Panduan keibubapaan positif UNICEF turut menekankan kepentingan bimbingan yang jelas, sokongan emosi dan contoh tingkah laku yang baik dalam membantu perkembangan kanak-kanak.
Jadi, bagaimana cara terbaik untuk menegur anak apabila mereka melakukan kesalahan, dan apakah yang boleh dilakukan ibu bapa apabila orang lain menegur anak mereka?
Jangan Terus Marah, Ada Cara Tegur Anak Dengan Betul

1. Tegur Perbuatan, Bukan Peribadi Anak
Apabila anak melakukan kesalahan, fokuskan teguran pada perbuatannya dan bukannya melabel dirinya sebagai nakal, biadab atau tidak berguna.
Sebagai contoh, daripada berkata, “Awak memang budak nakal,” cuba jelaskan, “Jangan rampas mainan kawan, kita perlu minta izin sebelum mengambil barang orang lain.”
Menurut UNICEF, teguran yang memalukan atau menyerang peribadi boleh menjejaskan keyakinan diri, sedangkan penerangan jelas membantu anak memahami tingkah laku yang perlu diperbaiki.
2. Gunakan Bahasa Yang Mudah Dan Sesuai Dengan Usia
Kanak-kanak masih belajar memahami peraturan sosial, jadi jangan mengharapkan mereka terus mengetahui perkara yang betul tanpa penerangan.
Jika anak berlari di tempat awam atau mengganggu orang lain, terangkan sebab perbuatan itu tidak sesuai dan beritahu perkara yang sepatutnya dilakukan.
Panduan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) turut menyarankan ibu bapa menetapkan peraturan yang jelas serta memberikan arahan khusus mengikut kemampuan anak.
3. Jangan Menengking Atau Memalukan Anak Di Hadapan Orang Ramai
Memarahi anak dengan suara tinggi mungkin membuatkan mereka berhenti melakukan sesuatu buat sementara waktu, tetapi belum tentu membantu mereka memahami kesalahan tersebut.
American Academy of Pediatrics menjelaskan bahawa hukuman fizikal, jeritan dan tindakan memalukan anak bukan kaedah disiplin yang berkesan untuk jangka panjang.
Jika keadaan mengizinkan, bawa anak ke tempat yang lebih tenang dan terangkan kesalahannya tanpa menjadikan teguran sebagai tontonan orang sekeliling.
4. Beri Peluang Kepada Anak Untuk Menjelaskan Keadaan
Sebelum membuat kesimpulan, tanyakan apa yang berlaku kerana tindakan yang kelihatan disengajakan mungkin berpunca daripada salah faham atau ketidakfahaman terhadap sesuatu peraturan.
Dengar penjelasannya terlebih dahulu, kemudian bantu anak mengenal pasti kesalahan dan fikirkan cara membetulkan keadaan sekiranya tindakannya menyakiti orang lain.
Pendekatan ini bukan bermaksud membenarkan semua perbuatan anak, sebaliknya mengajar mereka bertanggungjawab sambil memahami kesan tindakan terhadap orang lain.
5. Ibu Bapa Juga Perlu Mengawal Emosi Ketika Anak Ditegur
Dalam perkongsian sama, Public Health Malaysia mengingatkan bahawa ibu bapa boleh mempertahankan anak tanpa perlu menyerang individu yang memberikan teguran.
Jika teguran dirasakan keterlaluan, ibu bapa boleh menjelaskan perkara tersebut dengan tenang atau berbincang secara peribadi selepas keadaan reda.
Anak-anak turut memerhatikan cara ibu bapa menyelesaikan perselisihan, termasuk bagaimana mereka meminta maaf, mendengar pandangan berbeza dan mengawal kemarahan.
Akhirnya, menegur anak bukan sekadar menghentikan perbuatan yang salah, tetapi membantu mereka memahami sebab sesuatu tindakan perlu diubah.
Seperti yang diingatkan Public Health Malaysia, anak-anak belajar bukan sahaja melalui perkara yang kita nasihatkan, tetapi juga melalui tindakan kita ketika marah.

