Pertikaian sempadan tanah antara dua keluarga di China mencuri perhatian ramai apabila isu yang sama berlarutan lebih 200 tahun merentasi beberapa generasi.
Kes yang dibicarakan di daerah Yanta, Xi'an, wilayah Shaanxi itu melibatkan dua keluarga dengan nama keluarga Du dan Zhang yang masing-masing mendakwa sempadan tanah berkenaan milik mereka.
Menurut laporan, perselisihan itu semakin meruncing sejak dua dekad lalu apabila keluarga Du mahu mengubah suai dapur rumah mereka serta membina tembok baharu.
Perebutan Tanah Sejak 200 Tahun Akhirnya Selesai

Bagaimanapun, keluarga Zhang membantah rancangan tersebut kerana bimbang pembinaan itu menghalang cahaya matahari dan menjejaskan sistem saliran, sehingga mencetuskan pertengkaran mulut serta pergaduhan fizikal.
Usaha pihak polis dan jawatankuasa kampung untuk mendamaikan kedua-dua keluarga itu juga tidak membuahkan hasil walaupun perbincangan sudah dilakukan berpuluh-puluh kali.
Namun, keadaan berubah apabila keluarga Zhang menunjukkan satu dokumen lama ketika sesi rundingan, iaitu surat hak milik tanah yang dipercayai berasal dari zaman Dinasti Qing.
Dokumen yang dikatakan ditulis pada tahun ke-46 pemerintahan Maharaja Qianlong itu berusia ratusan tahun, dengan tulisan tangan yang masih boleh dibaca meskipun kertasnya sudah kekuningan dan koyak.
Keluarga Zhang mendakwa dokumen tersebut mengandungi persetujuan antara kedua-dua keluarga mengenai sempadan kediaman mereka, yang ketika itu ditandakan menggunakan sebatang pokok kesemak di halaman rumah.
Mereka juga berpendapat persetujuan berkenaan perlu terus dihormati oleh generasi seterusnya, sekali gus membuatkan pihak berkuasa menyedari pertikaian itu sebenarnya sudah berlarutan lebih dua abad.

Sepanjang tempoh tersebut, beberapa generasi daripada kedua-dua keluarga terus berselisih faham mengenai sempadan tanah berkenaan, termasuk satu pertikaian yang berlaku tidak lama selepas penubuhan Republik Rakyat China pada 1949.
Bagaimanapun, mahkamah tidak bergantung sepenuhnya pada dokumen lama itu untuk menentukan penyelesaian, sebaliknya mengambil inspirasi daripada sepucuk surat bersejarah yang menekankan kepentingan bertolak ansur.
Surat tersebut ditulis oleh Zhang Ying, seorang ahli politik dan sarjana ketika Dinasti Qing, yang pernah menasihati keluarganya supaya mengalah dalam pertikaian tanah dengan jiran mereka.
“Surat dari jauh hanya kerana sebuah tembok, mengapa tidak mengalah sejauh tiga kaki? Tembok Besar masih berdiri hari ini, tetapi Maharaja Qin Shi Huang sudah tiada,” tulisnya di dalam surat tersebut.

Kisah tersebut menyebut keluarga Zhang Ying akhirnya mengalihkan tembok mereka sejauh tiga kaki selepas tersentuh dengan nasihat berkenaan, sebelum jiran mereka turut melakukan perkara sama.
Mengambil pendekatan serupa, pihak berkuasa turut menjalankan beberapa siri pengukuran di kediaman kedua-dua keluarga bagi merangka pelan pengubahsuaian yang dapat diterima semua pihak.
Akhirnya, keluarga Du berjaya mengubah suai dapur mereka, manakala keluarga Zhang menerima keputusan tersebut tanpa mencetuskan pertikaian baharu.

