Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sarat Hamil 35 Minggu, Graduan UPSI Gagahkan Diri Hadir Konvokesyen Bersama Suami Demi Cipta Kenangan Buat Anak

Graduan UPSI Sarat Hamil
Kredit: UPSI

Hari graduasi pastinya menjadi antara detik paling dinanti-nantikan oleh mahasiswa selepas bertahun-tahun berusaha menamatkan pengajian, apatah lagi apabila ia mungkin menjadi kenangan terakhir mereka sebagai seorang pelajar universiti.

Namun, tidak semua graduan dapat meraikan detik istimewa itu tanpa cabaran, terutama bagi mereka yang perlu mempertimbangkan keadaan kesihatan dan fizikal sebelum menghadiri istiadat konvokesyen.

Begitulah kisah seorang graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Siti Nur Aini Najihah Azauha yang kini sedang menantikan kelahiran anak sulungnya pada Disember ini.

Menerusi perkongsian di laman rasmi UPSI, Aini yang sedang hamil 35 minggu tetap mengambil keputusan untuk menghadiri majlis konvokesyennya meskipun perlu berdepan cabaran fizikal susulan kehamilannya.

Lebih istimewa, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Geografi) dengan Kepujian itu turut menerima ijazah bersama suaminya yang juga merupakan rakan sekuliah di universiti berkenaan.

Graduan UPSI Sarat Hamil 35 Minggu Usaha Datang Konvokesyen

Bukan itu sahaja, Aini turut menamatkan pengajian dengan Kepujian Kelas Pertama selepas memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88.

Menurut anak kelahiran Pasir Puteh itu, dia tidak pernah membayangkan akan menghadiri majlis graduasi dalam keadaan sarat hamil, lebih-lebih lagi apabila tarikh konvokesyen dan jangkaan kelahiran anak pertamanya begitu hampir.

“Walaupun sedikit bimbang memikirkan keadaan fizikal, saya tetap teruja kerana konvokesyen kali ini menjadi pengalaman yang cukup istimewa,” katanya.

Menariknya, UPSI yang turut dikenali sebagai 'Universiti Pertemuan Suami Isteri' turut menjadi tempat Aini menemukan pasangan hidupnya apabila dia dan suaminya merupakan rakan sekelas sepanjang pengajian.

Menurut Aini, mereka mendirikan rumah tangga ketika menjalani Latihan Mengajar (LM) pada semester kelapan sebelum dia disahkan hamil selepas menamatkan latihan berkenaan.

“Suami banyak memberikan sokongan ketika saya menjalani Latihan Mengajar, menguruskan tugasan pengajian dan menyelesaikan tanggungjawab sebagai pelajar.

“Sepanjang tempoh kehamilan sehingga menamatkan pengajian, beliau terus menjadi sumber kekuatan saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aini mengakui pernah mempertimbangkan untuk tidak menghadiri konvokesyen kerana tarikhnya yang hampir dengan jangkaan bersalin.

Dia juga perlu mengambil kira beberapa perkara termasuk perjalanan ke lokasi majlis, tempoh menunggu yang panjang serta kemampuan fizikalnya untuk mengikuti keseluruhan istiadat.

Bagaimanapun, keinginan untuk meraikan kejayaan selepas empat tahun menuntut ilmu membuatkan Aini mengambil langkah persediaan lebih awal, termasuk merancang perjalanan, mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan suami serta ahli keluarga bersedia untuk membantunya.

Pada masa sama, keselamatan diri dan bayi tetap menjadi keutamaan dengan mengambil kira keadaan kesihatan serta mendapatkan pandangan pihak perubatan sebelum menghadiri majlis berkenaan.

Bagi Aini, kejayaan menggenggam ijazah ketika menantikan kelahiran anak pertama membawa makna tersendiri kerana dia bukan sahaja menamatkan perjalanan sebagai seorang mahasiswa, malah bakal memulakan fasa baharu dalam kehidupannya sebagai seorang ibu.

“Saya berharap konvokesyen ini menjadi kenangan yang akan kami ceritakan kepada anak kami suatu hari nanti, bahawa ketika ibu menerima ijazah, dia juga berada bersama-sama ibu,” katanya.

Sumber:UPSI
Intipati
  • Siti Nur Aini menghadiri konvokesyen UPSI ketika hamil 35 minggu anak sulung.
  • Beliau menerima ijazah bersama suami, rakan sekuliahnya, dengan Kepujian Kelas Pertama selepas memperoleh PNGK 3.88.
  • Aini merancang perjalanan, rehat dan bantuan keluarga selepas mempertimbangkan keadaan fizikalnya serta keselamatan bayi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan