Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Ingatkan Kena Marah…” Dua Graduan UPSI Terharu Terima Ucapan Tahniah Daripada KTMB

Dua Graduan UPSI Terharu

Hari bergraduasi merupakan antara detik paling bermakna buat seorang pelajar kerana ia menandakan kejayaan mereka menamatkan pengajian selepas melalui pelbagai pengalaman suka dan duka sepanjang berada di universiti.

Bagi mengabadikan kenangan tersebut, ramai graduan mengambil kesempatan untuk bergambar di lokasi yang mempunyai nilai sentimental sepanjang tempoh pengajian mereka.

Begitulah juga dengan dua graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), @ainabelle3 dan rakannya, yang memilih untuk merakamkan kenangan terakhir mereka di dalam kereta api Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Bagi kebanyakan pelajar UPSI, perkhidmatan kereta api KTMB bukan sekadar pengangkutan untuk ke kampus, malah menjadi sebahagian daripada pengalaman mereka sepanjang menuntut ilmu di universiti berkenaan.

Dua Graduan UPSI Terharu Terima Ucapan Tahniah Dari KTMB

Sama ada untuk pulang ke kampung halaman, menuju ke UPSI atau bersiar-siar ke bandar, kereta api menjadi antara pengangkutan yang sering digunakan oleh para pelajar.

Justeru, @ainabelle3 dan rakannya mengambil keputusan untuk mengenakan jubah konvokesyen dan bergambar di dalam kereta api tersebut sebelum meninggalkan Bandar Muallim.

Menurut @ainabelle3, KTMB merupakan pengangkutan utama mereka sepanjang bergelar pelajar UPSI, sekali gus menjadikan lokasi itu pilihan istimewa untuk merakamkan kenangan terakhir sebelum menamatkan kehidupan sebagai mahasiswa.

Namun, ketika mereka sedang sibuk bergambar, tiba-tiba satu pengumuman kedengaran dan menyebut nama mereka berdua.

Pada mulanya, mereka menyangka akan ditegur kerana mengambil gambar di dalam kereta api, tetapi rupa-rupanya pengumuman itu merupakan ucapan tahniah daripada petugas KTMB.

Menerusi video yang dimuat naik oleh @ainabelle3, kedengaran petugas berkenaan mengucapkan tahniah kepada mereka atas kejayaan menamatkan pengajian.

“Tahniah atas kejayaan anda menamatkan pengajian. Semoga perjalanan anda menuju ke alam kerjaya selepas ini selancar perjalanan train,” katanya menerusi pengumuman tersebut.

Lebih manis lagi, mereka turut menerima ucapan tahniah daripada penumpang lain yang berada di dalam gerabak berkenaan.

Sebelum turun dari kereta api, kedua-dua graduan itu sempat merakamkan foto bersama petugas KTMB yang membuat pengumuman istimewa tersebut.

“Terima kasih sekali lagi KTMB. Tadi sempat bergambar dengan petugas yang buat pengumuman sebelum turun dari tren. Memang buat perjalanan konvokesyen kali ini lebih bermakna,” katanya.

Dalam pada itu, KTMB turut meninggalkan komen yang menyentuh hati dengan mengaitkan perjalanan para pelajar UPSI bersama perkhidmatan kereta api berkenaan.

“Jika gerabak ini mampu bercerita, pasti banyak kisah suka dan duka kalian yang tersimpan di dalamnya. Dulu datang dengan impian, kini kembali dengan kejayaan.

“Terima kasih kerana menjadikan KTMB sebahagian daripada perjalanan indah ini. Semoga perjalanan seterusnya membawa lebih banyak cerita manis dan kejayaan yang menanti. Selamat bergraduasi,” tulis KTMB.

Sumber:Threads
Intipati
  • Dua graduan UPSI bergambar dalam kereta api KTMB dengan memakai jubah konvokesyen.
  • Petugas KTMB membuat pengumuman khas mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka menamatkan pengajian.
  • KTMB turut meninggalkan komen penghargaan, mengaitkan perjalanan pelajar UPSI dengan perkhidmatan kereta api.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan