Sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia untuk berdiri tegak dan menghormati lagu Negaraku setiap kali lagu kebangsaan itu dimainkan, tidak kira di mana mereka berada.
Namun, siapa sangka lagu Negaraku akan berkumandang di sebuah kafe di Jepun, malah dimainkan sendiri oleh pemilik premis berkenaan tanpa sebarang acara rasmi.
Itulah pengalaman tidak dijangka yang dilalui oleh seorang rakyat Malaysia, @xxteamondeonde_, bersama rakannya ketika melancong ke Jepun baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di Threads, dia berkongsi pengalaman ketika berkunjung ke sebuah kafe di kawasan Fuji Kawaguchiko.
Pemilik Kafe Di Jepun Pasang Lagu Negaraku

Menurutnya, ketika mereka sedang menikmati kopi, pemilik kafe tiba-tiba datang ke meja sambil membawa sebuah glob.
Pemilik kafe itu kemudian bertanya dari mana mereka berasal sebelum meminta mereka menunjukkan lokasi negara tersebut pada glob berkenaan.
Sebaik sahaja mengetahui mereka dari Malaysia, pemilik kafe itu terus memainkan lagu Negaraku sambil membuat persembahan bersama cucunya.
Walaupun tidak menghafal keseluruhan lirik lagu kebangsaan itu, pemilik kafe berkenaan kelihatan memahami melodinya dan turut bersenandung mengikut alunan lagu.
Lebih mencuit hati, dia dan cucunya masing-masing memegang boneka berbentuk anggota polis dan tukang masak sebelum menggerakkannya seolah-olah turut menyanyikan lagu Negaraku.
Melihat penghormatan yang diberikan itu, @xxteamondeonde_ dan rakannya turut berdiri sambil meletakkan tangan di dada dan menyanyikan lagu kebangsaan tersebut.
Apa yang lebih menyentuh hati, kejadian itu berlaku ketika kafe berkenaan hampir ditutup, namun pemiliknya tetap meluangkan masa untuk menghiburkan pelanggan.
Malah, sebagai tanda penghargaan atas layanan istimewa itu, mereka turut memberikan wang kertas Malaysia kepada pemilik kafe berkenaan.
“Rare experience kat Fuji Kawaguchiko, pemilik kafe ni tiba-tiba datang table dia bawa globe, 'where are you from?'. 'Malaysia desu'.
“Ingatkan nak bagi kuiz, tahu-tahu dia pasang lagu Negaraku pastu perform dengan cucu dia.
“Masa ni dia dah nak tutup, lagi 15 minit macam tu, sempat lagi entertain customer. Kami bagi mereka duit Malaysia sebagai token penghargaan,” katanya.

