Australia menghantar dua pesawat dan 20 anggota pakar pemadaman kebakaran bagi membantu operasi memadamkan kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Timur bermula hari ini hingga 12 November depan.
Duta Besar Australia ke Indonesia, Rod Brazier berkata, bantuan itu melibatkan pesawat pengangkut air besar C-130 milik Pasukan Bomba Luar Bandar New South Wales, Australia serta pesawat pandu jenis Cessna Citation.
“Pengerahan bantuan ini dapat dilaksanakan hasil kerjasama erat antara Australia dengan Indonesia dan kami menyokong sepenuhnya usaha kerajaan Indonesia menangani kebakaran tersebut,” kata Rod Brazier kepada wartawan di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta pada Khamis.
Indonesia Alu-Alukan Bantuan Australia

Sehubungan itu, kerajaan Indonesia menerusi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) secara rasmi memulakan operasi bantuan daripada kerajaan Australia berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua BNPB, Leftenan Jeneral TNI Kristomei Sianturi merakamkan penghargaan kepada Australia atas bantuan yang diberikan.
“Sekali lagi, kami berterima kasih atas bantuan yang diberikan dan sudah tentu ini melambangkan persahabatan antara dua negara yang saling berjiran.
“Seperti yang disampaikan Presiden Prabowo Subianto, sahabat yang baik ialah mereka yang menghulurkan bantuan ketika berdepan kesukaran,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penempatan pasukan bantuan Australia di Kalimantan Timur dibuat berdasarkan penyelarasan dan penilaian teknikal bersama kedua-dua negara.
Menurut hasil pemantauan BNPB, Kalimantan Timur masih memerlukan bantuan untuk menangani kebakaran hutan dan tanah serta mencatatkan keperluan kedua tertinggi selepas Kalimantan Tengah.
Katanya, pasukan teknikal Indonesia dan Australia terlebih dahulu membincangkan kawasan yang memerlukan bantuan sebelum memutuskan penghantaran pesawat Australia ke Kalimantan Timur.
Sementara itu, Rod menjelaskan bahawa pesawat pengangkut air besar berkenaan mampu melepaskan sehingga 15,000 liter air bagi setiap penerbangan dengan anggaran enam penerbangan sehari.

Beliau berkata, penghantaran bantuan itu menyusuli perbincangan antara Menteri Penyelaras Politik dan Keselamatan Indonesia, Dudung Abdurachman dengan Menteri Dalam Negeri Australia, Tony Burke.
Perbincangan tersebut menyentuh kemungkinan Australia membantu usaha kerajaan Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah yang berlaku.
Tambahnya, kerjasama itu turut mencerminkan hubungan persahabatan lama antara kedua-dua negara yang sering saling membantu ketika berdepan bencana.
Pada 2020, Australia juga pernah menerima bantuan anggota BNPB dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) ketika negara itu berdepan kebakaran hutan.

