Siapa sahaja yang tidak mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, apatah lagi menggenggam sijil sebagai hasil titik peluh sepanjang menuntut ilmu di universiti.
Namun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan oleh seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Nurhafiy Mohd Sazali, 22, selepas disahkan menghidap kanser darah yang menyebabkan kedua-dua belah tangan dan kakinya terpaksa dipotong akibat komplikasi.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalangnya daripada menghadiri Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-105 (Sidang 14) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam bagi menerima Anugerah Naib Canselor.
Menerusi satu perkongsian, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, menceritakan permintaan Muhammad Nurhafiy ketika beliau menziarahi pelajar itu sebelum ini.
Graduan UiTM, Muhammad Nurhafiy Hidap Kanser Darah

Menurutnya, Muhammad Nurhafiy memohon untuk menghadiri istiadat konvokesyen ke-105 kerana tidak berpeluang menyertai istiadat ke-104 yang sepatutnya dihadirinya sebelum ini.
“Saya masih ingat waktu menziarah beliau, beliau membuat permintaan untuk tetap bergraduat di konvo 105 kerana ingin menghadiahkan selempang pink (Anugerah Naib Canselor) kepada ibunya.
“Alhamdulillah, Allah izinkan Hafiy untuk hadiahkan selempang pink ini untuk Emak. Saya juga turut sebak waktu itu. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
“Tahniah anakanda Hafiy, semoga Allah sihatkan sepenuhnya dan izinkan untuk terus berjuang menimba ilmu,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Nurhafiy turut merakamkan penghargaan kepada Naib Canselor dan pihak UiTM kerana memberinya peluang menerima anugerah berkenaan pada istiadat konvokesyen kali ini.

Lebih menyentuh hati, Muhammad Nurhafiy menerima anugerah itu bersama adiknya yang turut menamatkan pengajian diploma dan memperoleh Anugerah Naib Canselor.
Dalam pada itu, ibunya, Huzaimah Berhan, meluahkan harapan agar anaknya dapat menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda sekiranya keadaan mengizinkan.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan itu bergantung pada tahap kesihatan dan kemampuan Muhammad Nurhafiy untuk meneruskan pengajian.

“Harapan memang kami nak kalau boleh dia sambung belajarlah tapi kita tengok kepada kemampuan dia.
“Seandainya dia mampu dan selepas ada macam-macam perubatan selepas kaki atau tangan palsu diberikan, kalau berkemampuan, insya-Allah kami sambung.
“Itu harapan dia sebenarnya,” katanya.
Untuk rekod, Muhammad Nurhafiy merupakan graduan Diploma Teknologi Binaan dari Fakulti Alam Bina, UiTM Seri Iskandar, Perak.

