Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ramai Kenal Sebagai Kapten AA, Pengasas RARETV Kongsi Sisi 'Luar Kamera' Allahyarham Akhmal Asyraf Ketika Bersama Anak-Anak RPWP

Akhmal Asyraf
Kredit: Threads Saiful Nang

Beberapa hari lalu, kita dikejutkan dengan berita pemergian pengacara RARETV, Muhammad Akhmal Asyraf Mohd atau lebih dikenali sebagai Kapten AA.

Perkhabaran itu meruntun hati ramai, terutama mereka yang selama ini mengikuti kisah kembara Allahyarham di media sosial.

Dalam ramai yang masih mengenang Allahyarham, pengasas RARETV, Saiful Nang, berkongsi satu sisi sahabatnya itu yang jarang dilihat umum.

Menerusi hantaran di Threads, Saiful menceritakan bagaimana Akhmal turut terlibat secara aktif dalam mendidik anak-anak di Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP).

Ajar anak-anak berwuduk, solat dan jaga kebersihan diri

Kredit: Threads Saiful Nang

Menurut Saiful, antara perkara yang diajar oleh Allahyarham ialah cara mengambil wuduk dan mendirikan solat.

Bimbingan itu turut merangkumi perkara asas dalam kehidupan seharian, termasuk cara membersihkan diri selepas menggunakan tandas.

Kredit: Threads Saiful Nang

Sampai ajar wuduk, solat, sampai istinjak pun nak kena ajar,” tulis Saiful.

Dalam salah satu gambar yang dikongsikan, Akhmal kelihatan berdiri di hadapan sekumpulan kanak-kanak yang duduk menghadapnya.

Kedua-dua tangannya diangkat, seolah-olah dipercayai sedang menunjukkan cara bertakbir. Dalam satu lagi foto, beliau dilihat menemani anak-anak itu di ruang tandas.

Kehidupan Anak-Anak RPWP

Kredit: Threads Saiful Nang

Saiful turut berkongsi bahawa mereka di RPWP tinggal bersama sebagai sebuah komuniti dan membesarkan anak-anak yatim seperti anak sendiri.

Baginya, anak-anak itu tetap sebahagian daripada keluarga walaupun sudah menginjak usia 18 tahun.

“Anak-anak ni semua anak kami selamanya,” katanya.

Bagi ramai yang mengenali Kapten AA menerusi video kembaranya, perkongsian Saiful itu memperlihatkan bagaimana Akhmal meluangkan masa di luar kamera.

Ada waktunya, beliau duduk bersama anak-anak ini dan mengajar mereka perkara yang akan mereka lakukan setiap hari, daripada menjaga kebersihan diri hingga mendirikan solat.

Kredit: Threads Saiful Nang

Sementara itu, perkongsian itu nyata merobek hati warga maya melihat sisi yang jarang dilihat pengacara itu.

“Sangat banyak rupanya cerita tentang dia we don't even know.. Selalu tengok kat Rare TV je.. Lagi lagi musim puasa..” ucap seorang pengguna.

Al-Fatihah buat Allahyarham Akhmal Asyraf.

Intipati
  • Saiful Nang berkongsi sisi Allahyarham Akhmal Asyraf yang jarang dilihat umum.
  • Akhmal dikatakan aktif membimbing anak-anak RPWP mengenai wuduk, solat dan kebersihan diri.
  • RPWP digambarkan sebagai komuniti yang membesarkan anak-anak yatim seperti keluarga sendiri.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan