Selama ini, mungkin ramai yang mengenali Allahyarham Akhmal Asyraf sebagai pengacara RARETV. Namun, di sebalik kerjayanya itu, tersingkap satu sisi kehidupan Allahyarham yang cukup menyentuh hati.
Sebelum dikurniakan zuriat sendiri, Allahyarham dan isterinya telah mengambil empat beradik anak yatim sebagai anak angkat.
Malah, salah seorang anak angkat pasangan itu kini sudah mempunyai cahaya mata sendiri, sekali gus menambah bilangan ahli keluarga mereka dengan kehadiran seorang cucu.
Perkara itu dikongsikan oleh pengasas RARETV, Saiful Nang menerusi satu hantaran di Threads.


Menerusi hantaran tersebut, beliau memuat naik tangkap layar yang memaparkan gambar anak angkat dan cucu Allahyarham.
“Ni cucu @akhmal_asyraf dari Fitrah yang merupakan anak yatim empat beradik sulong yang AA dan @kak_jiha jadikan anak angkat sebelum mereka berdua dikurniakan zuriat sendiri,” katanya.
Perkongsian Saiful Nang sentuh hati netizen
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tersentuh selepas mengetahui sisi lain kehidupan Allahyarham yang dikongsikan oleh Saiful Nang itu.
Malah, ada juga yang menjadikan kisah kehidupan Allahyarham sebagai inspirasi dan ruang untuk bermuhasabah diri.
“He lived a full life. Kehidupan yang dijalani tak sama seperti majoriti dewasa yang berumur 39 tahun. Mungkin yang berumur 60 tahun pun tak berbakti sehebat beliau. Sungguh sangat terkesan dengan pilihan hidup arwah AA,” kata seorang netizen.
“Hidup yang tak sia-sia. Ya Allah aku hidup selama ni apa la manfaat aku,” kata seorang lagi.
Sementara itu, Nurul Fitrah menerusi hantaran di Instagram miliknya mengenang pemergian Allahyarham.


“Dengan hati yang reda walaupun terlalu berat untuk menerima, ayah tercinta telah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
“Ayah, terima kasih atas segala pengorbanan, kasih sayang, didikan dan setiap perkara yang ayah curahkan sepanjang hayat ayah. Terlalu banyak kenangan dan jasa ayah yang tidak mungkin mampu kami balas.
“Tak sangka perjalanan ayah kali ini menjadi perjalanan yang terakhir. Walaupun ayah pergi jauh dari tanah air, doa kami sentiasa mengiringi ayah sehingga ke penghujungnya.
“Kini tiada lagi suara ayah, tiada lagi tempat kami berkumpul dan bercerita. Namun segala kenangan bersama ayah akan sentiasa hidup dalam hati kami,” katanya.
