Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Prabowo Kemuka Dua Nama Calon Naib Presiden

Prabowo Kemuka Dua Nama Calon Naib Presiden
Kredit: Prabowo Subianto

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto secara rasmi menyerahkan dua nama calon naib presiden kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) bagi mengisi kekosongan jawatan yang sebelum ini disandang Gibran Rakabuming Raka.

Iklan

Kedua-dua nama tersebut akan melalui proses semakan oleh MPR sebelum dipilih dan mengangkat sumpah dalam sidang penuh yang akan datang.

“Pertama, Andi Amran Sulaiman. Kedua, Sugiono,” kata Pengerusi MPR, Ahmad Muzani di bangunan Nusantara IV, kompleks Parlimen Senayan, Jakarta pada Isnin (23 November 2026).

Dalam pertemuan rasmi itu, Prabowo menyerahkan dua nama berkenaan kepada MPR untuk dipertimbangkan sebagai pengganti naib presiden bagi melengkapkan baki tempoh pentadbiran sehingga 2029.

Selepas penyerahan tersebut, MPR akan menyemak sama ada kedua-dua calon memenuhi semua syarat yang ditetapkan sebelum meneruskan proses pemilihan.

Prabowo Kemuka Dua Nama Calon Naib Presiden

“Selaras dengan peruntukan perlembagaan dan peraturan negara kita, hari ini saya hadir untuk menyerahkan dua nama yang dicadangkan bagi dipilih oleh MPR sebagai naib presiden untuk melengkapkan baki tempoh jawatan sehingga 2029,” kata Prabowo.

Tarikh akhir untuk Prabowo mengemukakan nama calon naib presiden kepada MPR ditetapkan pada Isnin (23 November) sebelum pukul 11.59 malam waktu Indonesia Barat.

Langkah seterusnya, pasukan semakan MPR akan menentukan hospital yang akan digunakan oleh kedua-dua calon bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Perkara itu akan dibincangkan kemudian. Selepas dua nama tersebut diserahkan, pasukan semakan akan menentukan hospital yang akan digunakan oleh calon terbabit untuk menjalani pemeriksaan kesihatan,” jelas Muzani dalam satu sidang media sebelum ini.

Selepas proses semakan dan pemeriksaan kesihatan selesai, MPR dijadualkan mengadakan sidang penuh bagi memilih serta mengangkat sumpah naib presiden baharu pada Jumaat, 11 Disember 2026.

Tarikh tersebut merupakan perubahan daripada perancangan awal yang menetapkan sidang penuh berkenaan berlangsung pada Rabu, 9 Disember 2026.

Menurut Muzani, keputusan awal itu dibuat secara sebulat suara oleh pimpinan MPR sebelum diperkukuhkan menerusi mesyuarat gabungan badan berkenaan.

“Sebelum ini, mesyuarat gabungan MPR telah memutuskan bahawa sidang penuh bagi mengisi kekosongan jawatan naib presiden untuk baki tempoh perkhidmatan 2024 hingga 2029 akan diadakan pada 9 Disember 2026.

“Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh pimpinan MPR dan kemudiannya diperkukuhkan dalam mesyuarat gabungan MPR sebelum diumumkan kepada umum,” katanya.

Bagaimanapun, tarikh berkenaan kemudian menerima pelbagai pandangan dan kritikan, khususnya berkaitan pengiraan tempoh 14 hari sebelum sidang penuh diadakan.

Menerusi Undang-Undang MPR, DPR, DPD dan DPRD serta peraturan mesyuarat MPR, tempoh 14 hari yang ditetapkan perlu dikira berdasarkan hari bekerja dan bukannya hari kalendar.

Muzani menjelaskan, keputusan awal MPR menggunakan pengiraan hari kalendar sehingga menimbulkan persoalan sama ada penetapan tarikh tersebut benar-benar mengikut peraturan yang berkuat kuasa.

“Bagaimanapun, kami menerima pelbagai pandangan, termasuk kritikan terhadap keputusan itu kerana dianggap tidak selari dengan semangat Undang-Undang MPR, DPR, DPD dan DPRD serta peraturan mesyuarat MPR.

“Peraturan tersebut menetapkan bahawa tempoh 14 hari sebelum sidang penuh MPR perlu dikira berdasarkan hari bekerja, sedangkan kami sebelum ini menggunakan pengiraan hari kalendar,” katanya.

Sumber:detiknews
Intipati
  • Prabowo menyerahkan nama Andi Amran Sulaiman dan Sugiono sebagai calon naib presiden Indonesia.
  • MPR akan menyemak kelayakan calon dan menetapkan hospital untuk pemeriksaan kesihatan mereka.
  • Sidang penuh pemilihan dan angkat sumpah dijadualkan pada 11 Disember 2026.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan