Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gibran Bertemu Prabowo, Nyatakan Hasrat Letak Jawatan Naib Presiden Indonesia

Gibran
Kredit: ANTARA

Gibran Rakabuming Raka dilaporkan berhasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Republik Indonesia.

Iklan

Menteri Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi berkata, anak sulung kepada Presiden Indonesia ketujuh, Joko Widodo (Jokowi) itu telah menyampaikan hasrat berkenaan kepada Presiden Prabowo Subianto dalam satu pertemuan hari ini, lapor CNN Indonesia.

“Berhubung sama ada terdapat pertemuan antara Presiden dan Naib Presiden pagi tadi, kami ingin memaklumkan kepada seluruh masyarakat bahawa benar, Naib Presiden telah mengadakan pertemuan dengan Presiden pagi tadi.

“Pertemuan itu berlangsung kira-kira dua jam setengah. Antara perkara yang dibincangkan ialah Naib Presiden menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan susulan perkembangan semasa berkaitan keputusan Mahkamah Perlembagaan (MK) dan Mahkamah Agung (MA).

“Bagaimanapun, kami juga ingin menjelaskan bahawa dakwaan Presiden menolak hasrat tersebut dalam pertemuan berkenaan adalah tidak benar.

“Sebaliknya, dalam perbincangan itu, Presiden telah memberikan banyak nasihat. Naib Presiden turut memohon agar diberikan peluang untuk membuktikan kesahihan dokumen yang dimilikinya melalui proses di Mahkamah Tata Usaha Negara (PTUN),” kata Prasetyo dalam sidang media di Istana pada Selasa.

Keputusan Gibran untuk mengemukakan hasrat meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden dibuat ketika tekanan politik terhadapnya semakin meningkat di Parlimen.

Terdahulu, seramai 50 anggota yang mewakili enam fraksi di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) telah mendesak supaya usul Hak Menyatakan Pendapat (HMP) dikemukakan bagi mengambil tindakan susulan terhadap kontroversi sijil akademik Gibran yang telah diputuskan oleh Mahkamah Agung (MA) dan Mahkamah Perlembagaan (MK).

Dalam keputusannya, MA memutuskan bahawa Surat Keterangan (Suket) penyetaraan kelulusan sekolah menengah atas (SMA) milik Gibran, yang digunakan sebagai salah satu syarat pendaftaran bagi Pilihan Raya Presiden 2024, adalah tidak sah.

Keputusan itu turut mengukuhkan keputusan Mahkamah Perlembagaan (MK) sebelum ini yang menyatakan bahawa pihaknya tidak menemukan dokumen bukti kelulusan Gibran yang setaraf dengan SMA di Singapura dan Australia.

Susulan keputusan MA dan MK itu, DPR bertindak mengusulkan Hak Menyatakan Pendapat sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang MD3.

Hak berkenaan merangkumi tiga perkara, antaranya dakwaan pelanggaran undang-undang oleh Presiden dan/atau Naib Presiden, termasuk pengkhianatan terhadap negara, rasuah, pemberian suapan, jenayah berat lain, perbuatan tercela atau tidak lagi memenuhi syarat untuk memegang jawatan sebagai Presiden atau Naib Presiden.

Sebelum ini, Gibran turut memberikan respons terhadap keputusan MK berhubung kontroversi sijil akademiknya.

Menurutnya, sekiranya beliau tidak menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah, adalah mustahil untuknya melanjutkan pengajian ke universiti.

“Kalau saya tidak lulus sekolah menengah, sudah tentu saya tidak mungkin dapat melanjutkan pengajian ke universiti. Saya juga telah menamatkan pengajian sehingga peringkat ijazah sarjana muda (S1) di Singapura,” kata Gibran.

Sumber:nasional