Presiden Indonesia, Prabowo Subianto perlu mengemukakan dua nama calon naib presiden selewat lewatnya pada 11.59 malam waktu tempatan, Isnin, 23 November 2026.
Speaker Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Ahmad Muzani berkata, tarikh akhir itu ditetapkan susulan keputusan MPR untuk mengadakan sidang pleno bagi mengesahkan dan melantik naib presiden pada 11 Disember 2026.
Menurutnya, berdasarkan jadual yang ditetapkan, presiden perlu mengemukakan nama calon sekurang kurangnya 14 hari bekerja sebelum sidang pleno berlangsung.
Justeru, Isnin menjadi tarikh akhir untuk Prabowo menyerahkan dua nama calon berkenaan.
“Pengiraan kami menunjukkan presiden perlu mengemukakan atau mencalonkan dua individu itu hari ini, selewat lewatnya pada 11.59 malam,” katanya ketika sidang media di Jakarta.
Beliau berkata, pihak MPR akan segera menghantar surat kepada presiden berhubung keperluan tersebut dan menunggu maklum balas pada hari sama.
“Kami akan menunggu surat daripada presiden hari ini yang mengemukakan dua calon naib presiden,” katanya.
Sebelum ini, MPR telah menangguhkan sidang pleno bagi mengesahkan dan melantik naib presiden kepada 11 Disember 2026.
Perubahan jadual itu dibuat selepas MPR menerima pelbagai pandangan berhubung kemungkinan timbulnya kontroversi perlembagaan sekiranya sidang berkenaan diadakan pada 9 Disember 2026.
MPR turut menjelaskan bahawa peruntukan perlembagaan dan peraturan dalaman majlis menetapkan tempoh 14 hari sebelum sidang pleno bagi mengemukakan calon naib presiden perlu dikira berdasarkan hari bekerja.

