Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Polis Terima Laporan Kes Kanak-Kanak 7 Tahun Didakwa Dipaksa Minum Air Cili
Polis Daerah Kluang mengesahkan kejadian tular di media sosial mengenai kes penderaan melibatkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dipaksa meminum air cili oleh seorang guru di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Taman Sri Kluang.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner (ACP) Bahrin bin Mohd Noh dalam satu siaran media bertarikh 29 Mei 2026 berkata, tindakan tersebut diambil susulan daripada kenyataan yang tular di laman sesawang Facebook melalui pautan https://www.facebook.com/share/p/18UbRmtXDD/?mibextid=wwXIfr. Kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada 20 Mei 2026 di dalam dapur taska tersebut.
Menurut beliau, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah menerima satu laporan polis berkaitan kes itu pada 28 Mei 2026 jam lebih kurang 8.46 malam.
"Pengadu merupakan seorang lelaki tempatan yang juga penjaga kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun tersebut, yang merasa tidak puas hati selepas mendapati tindakan guru taska terbabit memaksa mangsa meminum air cili," katanya dalam kenyataan media tersebut.
Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan kandungan berbentuk provokasi, fitnah atau kenyataan yang boleh menjejaskan maruah mana-mana pihak termasuk mangsa, keluarga, pihak sekolah mahupun orang yang sedang disiasat.
"Pihak polis turut menegaskan bahawa sebarang tindakan mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab atau penyebaran berita palsu boleh diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.
PDRM menyeru masyarakat memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan dengan telus demi memastikan keadilan kepada semua pihak.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang melalui talian di bawah:
TELEFON : 07-7784222
DIRECT LINE : 07-7784256
HOTLINE : 07-7766822
TABLET DCC : 014-3656822