Bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman melahirkan rasa terkejut berhubung laporan polis yang dibuat berkaitan penganjuran konsert penyanyi gospel Kristian, Israel Houghton di Sabah.
Anifah berkata, Sabah sejak dahulu dikenali sebagai sebuah negeri yang menjunjung tinggi nilai toleransi, dengan masyarakat berbilang agama hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni.
Menurutnya, umat Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh serta penganut agama lain telah sekian lama berkongsi kehidupan secara aman di negeri itu.
“Justeru, apabila laporan polis dibuat bagi membantah penganjuran sebuah konsert Kristian yang menampilkan seorang penyanyi Kristian dan ditujukan kepada penonton Kristian, perkara itu sememangnya mengejutkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, dirinya difahamkan penyanyi berkenaan pernah menyuarakan sokongan terhadap Israel menerusi media sosial.
Bagaimanapun, Anifah mempersoalkan perbezaan layanan terhadap acara tersebut dengan sebuah kumpulan muzik heavy metal yang menurutnya turut pernah menyatakan sokongan kepada Israel dan membuat persembahan di Stadium Bukit Jalil pada bulan lalu.
“Mengapa wujud layanan yang berbeza? Adakah kerana sikap tidak bertoleransi terhadap agama kini mula menular dalam masyarakat kita?” katanya.
Malaysia Pernah Terima Atlet Penyokong Israel
Mengimbas pengalamannya ketika menjadi Menteri Luar, Anifah berkata Malaysia pernah menerima atlet untuk menyertai temasya sukan ASEAN dan Sukan Asia, termasuk sebahagian atlet yang merupakan penyokong Israel.
Ujarnya, kerajaan ketika itu mengambil pendirian bahawa mereka boleh hadir ke Malaysia dengan syarat menghormati sensitiviti tempatan serta tidak mengibarkan bendera Israel.
“Sekiranya pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan undang-undang kita dapat memastikan bahawa Israel Houghton mematuhi undang-undang tempatan, tidak melakukan apa-apa tindakan yang boleh mencetuskan atau menyinggung sensitiviti masyarakat setempat, serta langkah-langkah munasabah dapat diambil bagi mengelakkan sebarang provokasi, saya tidak melihat mengapa beliau perlu dihalang daripada membuat persembahan di Sabah,” katanya.
Jelasnya, penganjuran berkenaan telah dinyatakan sebagai acara untuk penganut Kristian dan bukannya bertujuan menyebarkan agama Kristian dalam kalangan umat Islam.
Anifah turut menjelaskan bahawa agama Kristian mempunyai pelbagai denominasi, manakala Israel Houghton mempersembahkan muzik gospel yang lazim dalam kalangan sebahagian denominasi Protestan dan Reformed yang telah lama bertapak di Sabah.
“Jangan Bawa Politik Agama Tidak Bertoleransi Ke Sabah”
Tambah beliau, perkara berkaitan penganjuran muzik keagamaan seperti itu sebelum ini tidak pernah menjadi masalah di Sabah.
“Sebelum ini, perkara seperti ini tidak pernah menjadi masalah bagi kita. Kita tidak seharusnya menjadikannya satu masalah sekarang.
“Jangan bawa politik agama yang bersifat tidak bertoleransi ke Sabah,” katanya.


