Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

DBKL Tegaskan Sitaan Penjaja Ikut Prosedur, Laporan Polis Dibuat Susulan Kekecohan

DBKL
Kredit: Bernama

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan tindakan sitaan terhadap seorang penjaja di Jalan Tun Tan Cheng Lock baru baru ini dilakukan kerana menjalankan aktiviti penjajaan tanpa lesen sah, bukannya secara sewenang wenangnya.

DBKL berkata, tindakan oleh anggota penguat kuasa kira kira pukul 2 petang itu dibuat susulan aduan yang diterima, selain teguran lisan dan notis kompaun yang dikeluarkan pada 18 Oktober lalu di bawah Undang Undang Kecil 3(1), Undang Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

Menurut DBKL, hasil semakan mendapati penjaja terbabit tidak mempunyai lesen penjajaan yang sah bagi lokasi berkenaan.

Katanya, dua lesen yang dikemukakan oleh pihak lain didapati milik pemegang lesen bagi lokasi bersebelahan dan sebuah premis di Kasturi Walk yang lesennya telah dibatalkan pada 10 Jun 2025.

“Daripada dua penjaja yang berada di lokasi ketika kejadian, hanya penjaja yang didapati beroperasi tanpa lesen dikenakan tindakan sitaan,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, keadaan dilaporkan menjadi tegang ketika operasi apabila beberapa individu didakwa melakukan provokasi, merosakkan barangan jualan serta membaling botol air dan buah kelapa ke arah anggota penguat kuasa serta kenderaan DBKL.

DBKL memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan membabitkan anggota penguat kuasa dalam kejadian berkenaan.

Menurutnya, operasi itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) jabatan, dengan anggota penguat kuasa yang bertugas dilengkapi kamera badan.

DBKL turut mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut.

Dalam pada itu, DBKL menegaskan pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan semua penjaja mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Langkah itu juga bertujuan memelihara ketenteraman, kebersihan dan kesejahteraan awam di ibu negara.