SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar supaya segera menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bagi memperjelas isu pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata langkah itu perlu, bagi menjelaskan kekangan undang-undang terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International, serta implikasinya terhadap satu lagi kes membabitkan Najib, iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya telah minta supaya Peguam Negara segera menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong memohon ampun dan menjelaskan mengapa keputusan itu diterima untuk kes SRC, tetapi ada masalah kerana melibatkan kes kedua iaitu kes 1MDB.
“Ada yang menafsirkan ia berjalan pada tahun 2008, ada yang mengatakan mahkamah tidak memberikan bail ikat jamin, jadi sebab itu perlu masa untuk menetapkan secara muktamad oleh badan kehakiman dan ini bukan bidang kuasa saya,” kata beliau selepas melancarkan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan timbalannya Lim Hui Ying serta Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini.
Sultan Ibrahim hari ini bertitah pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib, yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati, selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Seri Paduka Baginda bertitah keputusan yang diperkenankan menerusi kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan itu, perlu dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan tanpa menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Anwar menegaskan bahawa kuasa dan keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak pernah dipertikaikan, sebaliknya isu yang perlu diperjelaskan ialah berkaitan pelaksanaan titah berkenaan dalam konteks kes kedua yang membabitkan Najib.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara, sehingga selesai penelitian dan penjelasan lanjut mengenai interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat, serta kesan Perintah Pelepasan (Order of Discharge) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi di sini semalam, selepas bayaran denda RM50 juta dilunaskan.
AGC memaklumkan penangguhan sementara itu bukan bertujuan mempertikaikan atau mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya merupakan langkah bagi memastikan titah tersebut dan perintah mahkamah berkaitan dilaksanakan dengan tepat, teratur dan selaras dengan kedudukan undang-undang sebenar.
Sepanjang tempoh penangguhan, Najib dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa serta arahan pihak berkuasa yang berkenaan, selain memaklumkan tindakan selanjutnya akan diambil selepas proses penelitian dan penjelasan berhubung penangguhan sementara itu selesai.
Najib dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, di sini semalam.
Pegawai khas kepada Najib, Ahmad Lutfi Azhar hadir di mahkamah pada 11.30 pagi bagi menyelesaikan urusan pembayaran dan melengkapkan prosedur pentadbiran yang diperlukan sebelum pembayaran dimuktamadkan.
Pembayaran itu adalah antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 Sept, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

