Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AGC Tegaskan Tidak Sama Sekali Pertikai Perintah Pengampunan Bersyarat Diperkenankan YDP Agong

AGC
Kredit: Bernama

Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan tidak sama sekali mempertikaikan, mengenepikan atau berhasrat untuk menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

AGC berkata pihaknya sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong serta mengiktiraf prerogatif pengampunan Baginda sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi satu kenyataan, AGC menjelaskan bahawa persoalan yang dibangkitkan oleh pihaknya bukanlah mengenai keesahan atau kewibawaan Perintah Pengampunan Bersyarat tersebut.

Sebaliknya, persoalan yang memerlukan penentuan adalah berhubung kesan undang-undang Perintah Pelepasan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November 2026 terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International, serta implikasinya terhadap tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1MDB.

“Persoalan ini timbul susulan pembayaran denda sebanyak RM50 juta pada 6 November 2026 dan pengeluaran Order of Discharge on Payment of Fine oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh yang sama. Perintah tersebut, antara lain, menyatakan:

“And whereas the said fine amounting to RM 50,000,000 has now been paid into this Court: This is to authorise you to discharge the said Dato’ Sri Mohd Najib bin Hj Abd Razak […] forthwith.”

“Pada masa yang sama, perintah tersebut turut menyatakan bahawa Dato' Sri Mohd Najib hendaklah menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.

“Justeru, timbul persoalan undang-undang mengenai skop dan kesan arahan pelepasan tersebut, khususnya sama ada pelepasan yang diperintahkan hanya berkaitan dengan pembayaran denda dan membolehkan baki hukuman penjara SRC International diteruskan melalui tahanan di rumah, atau sama ada perintah tersebut membawa kesan bahawa hukuman dalam kes SRC International telah selesai,” katanya.

Jelasnya lagi, persoalan tersebut juga mempunyai kaitan langsung dengan perintah hukuman Mahkamah Tinggi dalam kes 1MDB, yang menetapkan bahawa hukuman penjara dalam kes tersebut hendaklah bermula selepas hukuman dalam kes SRC International selesai dijalani.

Tambahan pula, permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober 2026.

“Sekiranya hukuman dalam kes SRC International masih berkuat kuasa, maka tidak timbul persoalan mengenai pelaksanaan baki hukuman tersebut selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.

“Sebaliknya, sekiranya hukuman SRC International telah selesai dari segi undang-undang, maka perlu ditentukan kesannya terhadap permulaan hukuman dalam kes 1MDB.

“Kedua-dua kemungkinan ini mempunyai implikasi undang-undang yang berbeza dan tidak sewajarnya diputuskan berdasarkan andaian atau tafsiran sebelah pihak,” kata AGC.

AGC menjelaskan perkara itu susulan dakwaan yang terkandung dalam kenyataan media peguam yang mewakili Najib, Tetuan Shafee & Co pada Jumaat berhubung pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September 2026 dan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah.

Dakwaan tersebut menyatakan bahawa Peguam Negara telah bertindak melampaui bidang kuasanya, mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, mengetepikan perintah Mahkamah serta menyebabkan penahanan Najib secara tidak sah.

“Dakwaan-dakwaan tersebut adalah serius dan perlu diperjelaskan supaya masyarakat tidak mendapat gambaran yang salah mengenai kedudukan undang-undang sebenar,” katanya.

AGC turut menolak gambaran bahawa tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang merupakan suatu percubaan untuk mengambil alih atau melaksanakan kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda.

“Kuasa pengampunan dan kuasa Mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah adalah dua perkara yang berbeza.

“Mendapatkan keputusan Mahkamah mengenai pelaksanaan sesuatu perintah tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kewibawaan pihak yang mengeluarkan perintah tersebut.

“Sehubungan itu, adalah tidak tepat untuk menyamakan pendirian AGC bahawa sesuatu persoalan undang-undang memerlukan penentuan Mahkamah dengan dakwaan bahawa Peguam Negara telah mengambil alih prerogatif pengampunan Seri Paduka Baginda.

“AGC berpandangan bahawa saluran yang sewajarnya untuk menyelesaikan persoalan ini ialah melalui Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa, supaya keputusan dan arahan pelaksanaan yang jelas dapat diperoleh tanpa menjejaskan kedudukan mana-mana institusi,” jelas AGC.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, AGC turut berkata persoalan mengenai tanggungjawab pihak berkuasa penjara hendaklah ditentukan berdasarkan kewajipan undang-undang dan perintah-perintah yang terpakai.

Sebarang dakwaan atau sindiran bahawa Peguam Negara ataupun pihak tertentu telah mengarahkan pihak berkuasa penjara bertindak secara tidak sah tidak seharusnya dikemukakan sebagai suatu kesimpulan tanpa asas fakta yang jelas.

“AGC memandang serius penggunaan ungkapan yang menggambarkan tindakan Peguam Negara sebagai suatu penghinaan atau penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Dakwaan sedemikian adalah tidak berasas berdasarkan persoalan undang-undang yang telah dibangkitkan oleh AGC.

“Tanggungjawab untuk memastikan sesuatu titah pengampunan dilaksanakan dengan tepat, selaras dengan perintah Mahkamah yang berkuat kuasa, merupakan sebahagian daripada usaha menjunjung institusi Yang di-Pertuan Agong dan kedaulatan undang-undang, bukannya suatu tindakan mengingkari titah Baginda.

“AGC ingin menegaskan bahawa penentuan segera oleh Mahkamah adalah penting bukan sahaja bagi memastikan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat dan hukuman dalam kes 1MDB dibuat menurut undang-undang, malah bagi memelihara hak-hak Dato’ Sri Mohd Najib sendiri.

“Sekiranya Mahkamah memutuskan bahawa hukuman dalam kes SRC International telah selesai, penerusan tahanan atas dasar hukuman tersebut boleh menyebabkan beliau menjalani tahanan melebihi tempoh yang sepatutnya.

“Sebaliknya, sekiranya hukuman tersebut masih berkuat kuasa, pelaksanaannya hendaklah mematuhi terma Perintah Pengampunan Bersyarat serta mana-mana perintah Mahkamah yang berkaitan,” menurut AGC.

Disebabkan itu, AGC berpandangan bahawa persoalan berhubung kesan undang-undang Perintah Pelepasan bertarikh 6 November 2026 wajar dirujuk dengan segera kepada Mahkamah untuk mendapatkan penentuan dan arahan yang jelas.

Langkah tersebut bukan bertujuan melengahkan atau menggagalkan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat, sebaliknya untuk mengelakkan percanggahan dalam pelaksanaan perintah-perintah yang berkuat kuasa serta memastikan bahawa tiada hukuman dilaksanakan secara tidak sah.

“AGC tidak berhasrat untuk berbalas dakwaan melalui media mengenai perkara yang sewajarnya ditentukan melalui proses kehakiman.

“Semua pihak hendaklah menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong, kebebasan badan kehakiman serta prinsip kedaulatan undang-undang, tanpa membuat tuduhan yang boleh menimbulkan salah faham masyarakat terhadap pelaksanaan tanggungjawab institusi-institusi tersebut.

“AGC kekal komited untuk menjunjung dan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong, menghormati perintah-perintah Mahkamah dan memastikan setiap hukuman dilaksanakan secara sah, teratur dan tepat.

“Mendapatkan kepastian undang-undang melalui Mahkamah adalah langkah yang bertanggungjawab demi memelihara integriti pentadbiran keadilan dan hak semua pihak yang terlibat,” ujar AGC lagi.