Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Semua Syarat Perintah Pengampunan Dipenuhi, Sebarang Hujah Pertikai Menjurus Ingkari Perintah - YDP Agong

Semua Syarat Perintah Pengampunan
Kredit: Bernama

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Baginda.

Iklan

Menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim, kekeliruan tafsiran berhubung perintah tersebut tidak sepatutnya timbul sehingga menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan.

“Pada 18 September 2026, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu yang turut dihadiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara, telah memberikan nasihat yang sewajarnya kepada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Selanjutnya, Seri Paduka Baginda telah memerintahkan bahawa Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat iaitu sekiranya Datuk Seri Mohd Najib membayar denda RM50 juta.

“Perintah pengampunan bersyarat ini adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut menegaskan bahawa kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Pelaksanaan kuasa tersebut hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Memandangkan semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah yang mempertikaikan perintah berkenaan adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong,” ujar kenyataan itu.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib adalah wajar ditangguhkan buat sementara waktu sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Order of Discharge diselesaikan.

Menurut AGC, terdapat dua interpretasi yang perlu diberikan penelitian lanjut.

Pertama, pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.

“Berdasarkan interpretasi ini, tahanan di rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif bagi menjalani baki hukuman penjara tersebut dan bukannya penamatan hukuman penjara.

“Kedua, pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, yang membawa kesan bahawa keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap telah selesai,” katanya.

Persoalan turut melibatkan kesan undang-undang Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setelah pembayaran denda RM50 juta direkodkan.

Ujar AGC, perintah tersebut mengarahkan supaya Najib dilepaskan serta-merta, namun pada masa yang sama menyatakan bahawa baki hukuman hendaklah dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.