Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pihak Zoo Kongsi Keadaan Terkini DAK, Tegaskan Tiga Gajah Itu Dalam Keadaan Baik
Tiga ekor gajah Malaysia, Amoi Dara dan Kelat yang kini berada di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun baru-baru ini menarik perhatian ramai.
Tambahan lagi, orang ramai turut menggesa agar ketiga-tiga gajah tersebut dibawa pulang semula ke tanah air.
Bukan itu sahaja, petisyen untuk membawa pulang gajah tersebut juga telah menarik perhatian dan mendapat banyak sokongan.
Menerusi perkongsian dari Majlis Perbandaran Taiping di Facebook, satu rakaman video menunjukkan situasi terkini gajah tersebut.
Menerusi video itu, ketiga-tiga ekor gajah tersebut dikhabarkan berada dalam keadaan yang baik. Malah, mereka juga dilihat seronok bermain air dan menyapa pengunjung yang mengunjungi zoo tersebut.
Kongsi video tersebut lagi, semua fasiliti yang disediakan di situ mengambil masa beberapa tahun disiapkan untuk menyambut kehadiran mereka.
Memandangkan Jepun merupakan negara yang mengalami perubahan musim dan suhunya berubah, pihak zoo telah menyediakan pelindung matahari dan pemanas untuk memastikan mereka kekal selesa.
"Kawasan halaman luar juga dipenuhi dengan pasir bagi mengurangkan stres pada kaki mereka," ujar pihak zoo lagi.

Malah, beberapa kawasan juga disertakan dengan timbunan pasir untuk mereka bermain. Mereka juga dilihat kerap bermain dan berbaring di kawasan pasir itu untuk bersantai.
"Kami turut menambah pelbagai aktiviti atau hiburan supaya mereka tidak berasa bosan," tambahnya.
Di samping itu juga, dua buah kolam turut disediakan. Satu, cukup dalam untuk mereka merendamkan keseluruhan tubuh dan satu lagi kolam yang cetek.
Kongsi pihak zoo lagi, mereka gemar bermain di kedua-dua kolam dan kadang-kadang turut mandi lumpur berdekatan dengan kawasan tersebut.

Waktu snek pula sering disertakan pelbagai aktiviti dan kepelbagaian untuk gajah tersebut menggunakan kemahiran mereka bagi mendapatkan snek ganjaran.
Dalam video tersebut, gajah itu dilihat meregangkan belalainya untuk mendapatkan rumput segar yang digantung.

"Ini bukan sahaja membuatkan waktu makan mereka menjadi lebih lama, malah membantu menguatkan otot di bahagian leher dan bahu," kongsi pihak Zoo.
Tambah pihak zoo lagi, makanan mereka terdiri daripada rumput segar dan daun pisang, di samping buah-buahan dan sayuran ditambah untuk mengimbangi nutrisi mereka.
Pihak zoo juga ada berkongsi beberapa cara untuk mengekalkan kesihatan ketiga-tiga gajah tersebut. Di laluan masuk antara halaman luar dan bilik mereka, satu penimbang diletakkan di bahagian lantai.
"Dengan cara ini, kami dapat mengetahui berat mereka tanpa perlu memaksa mereka untuk membuat apa-apa," tambah pihak zoo.

Apabila gajah-gajah tersebut memijak lantai, berat mereka akan keluar pada monitor. Pihak zoo juga melatih gajah tersebut untuk menjaga kaki mereka dan mengumpul darah dari telinga.
Dengan memantau mereka setiap hari dan melatih sambil berkomunikasi dengan mereka, pihak zoo dapat memahami dan mengetahui tahap kesihatan ketiga-tiga gajah ini.
Kini, hampir setiap hari zoo tersebut menerima kunjungan dari orang ramai yang ingin melihat gajah tersebut.
"Kami juga menyediakan panduan supaya pengunjung belajar mengenai gajah dan bukan hanya melihat mereka," tambah pihak zoo lagi.

Papan tanda tersebut turut memperkenalkan bagaimana tubuh gajah berfungsi, rutin dan kelakuan harian mereka, serta progran pemuliharaan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia.
"Di zoo Tennoji, kami akan terus menjaga Amoi, Kelat & Dara sebagai ahli keluarga kami yang sangat penting" tambahnya.