Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kualiti Udara Semakin Baik, 67 Kawasan Catat IPU Baik Dan Sederhana - Arthur

IPU
Kredit: Bernama

PUTRAJAYA, 27 Okt (Bernama) -- Keadaan jerebu di negara ini menunjukkan perkembangan positif apabila 67 kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap baik dan sederhana setakat 9 pagi tadi, dengan keadaan itu dijangka berterusan hingga 31 Okt ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata daripada jumlah itu, 23 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap baik manakala 44 kawasan lagi mencatatkan tahap sederhana.

Beliau berkata hanya satu kawasan iaitu Samalaju, Sarawak merekodkan bacaan IPU tidak sihat yang sebahagian besarnya berpunca daripada jerebu rentas sempadan.

“Bagaimanapun, kita perlu terus berwaspada kerana cuaca kering di beberapa negara jiran berpotensi membawa risiko jerebu rentas sempadan yang berterusan. Berdasarkan pantauan satelit pada 26 Okt, tiada sebarang titik panas (kawasan kebakaran) dikesan di seluruh Malaysia dan juga di Sumatera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Arthur bagaimanapun berkata terdapat 166 titik panas dikesan di Kalimantan.

“Angin pada masa ini bertiup dari arah timur laut sehingga tenggara, yang membawa kepulan asap dari kawasan titik panas di Kalimantan Timur ke arah barat laut Borneo termasuk Sarawak dan menyebabkan keadaan jerebu sederhana di sana,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar akan terus mempergiat rondaan di kawasan berisiko bagi mencegah pembakaran terbuka, sekali gus memastikan kualiti udara kekal baik.

“Kementerian amat berharap agar orang ramai, terutamanya penduduk di kawasan yang kualiti udaranya kurang baik seperti di Samalaju, dapat menjaga kesihatan diri.

“Kurangkan aktiviti riadah di luar rumah, banyakkan minum air kosong dan pakailah pelitup muka jika perlu berada di luar,” katanya.

Semakan status kualiti udara terkini boleh dibuat melalui laman sesawang http://apims.doe.gov.my/ atau muat turun aplikasi MyIPU di telefon pintar.

-- BERNAMA

Intipati
  • Sebanyak 23 kawasan mencatat IPU baik, manakala 44 lagi berada pada tahap sederhana.
  • Samalaju merekodkan IPU tidak sihat, sebahagian besarnya berpunca daripada jerebu rentas sempadan.
  • Pantauan satelit mengesan 166 titik panas di Kalimantan, tetapi tiada di Malaysia dan Sumatera.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan