Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PH-BN Pulau Pinang Perlu Terus Kukuh Kerjasama Demi Kepentingan Rakyat - Rashidi

PH
Kredit: Facebook Rashidi Zinol

Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan pentadbiran serta kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan negeri, Datuk Rashidi Zinol berkata, kerjasama antara kedua-dua gabungan politik itu selama ini berjalan dengan baik dan konstruktif.

Katanya, sepanjang tiga tahun menjalankan amanah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, beliau tidak pernah menghadapi masalah dalam hubungan kerja bersama pimpinan serta rakan daripada PKR dan DAP.

“Sebaliknya, hubungan kerja yang terjalin adalah berasaskan sikap saling menghormati, persefahaman, komunikasi yang baik serta keutamaan terhadap kepentingan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kredit: Facebook Rashidi Zinol

Menurut Rashidi, perbezaan latar belakang parti tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bekerjasama sekiranya matlamat utama adalah memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan baik dan rakyat mendapat manfaat.

Beliau berkata, persefahaman politik yang terbentuk di Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 merupakan satu bentuk kerjasama yang wajar dihargai dan terus diperkukuh.

Katanya, keputusan PH Pulau Pinang mengekalkan wakil BN dalam pentadbiran negeri sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang turut mencerminkan kepentingan kesinambungan kerjasama berkenaan. Keputusan itu dibuat PH Pulau Pinang pada Ogos lalu.

“Dalam masa yang sama, saya ingin menyatakan sokongan kepada pendirian di peringkat Pusat bahawa Kerajaan Perpaduan perlu terus dipertahankan dan diperkukuhkan sehingga tamat penggal.

“Ini bagi memastikan kestabilan pentadbiran negara, kesinambungan dasar serta tumpuan kerajaan kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Jelasnya, kestabilan politik bukan sekadar berkaitan parti atau jawatan, sebaliknya melibatkan kemampuan untuk bekerja bersama, menghormati perbezaan serta menyelesaikan perkara yang memberi kesan kepada rakyat.

“Saya berharap semangat kerjasama dan persefahaman antara PH dan BN di Pulau Pinang akan terus dipelihara, demi kestabilan negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Intipati
  • Rashidi Zinol mahu kerjasama PH-BN Pulau Pinang terus diperkukuh demi kestabilan pentadbiran.
  • Beliau berkata hubungan kerja bersama pimpinan PKR dan DAP berjalan baik serta konstruktif.
  • Rashidi turut menyokong Kerajaan Perpaduan dipertahankan di peringkat Pusat hingga tamat penggal.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan