Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Perlis Jadi Destinasi Pertama RMC NorthQuest, Perak Bakal Jadi Lokasi Jelajah Tahun Depan

northquest
Reappear Motorcycle Club Malaysia (RMC) bergambar kenangan bersama di Majlis Perlis Usahawan Fest 2026 di sini hari ini. FOTO: Haziq Hakimi/ SK

Keindahan alam semula jadi, keunikan budaya dan warisan serta pelbagai destinasi menarik di negeri Perlis menjadi antara tarikan utama menerusi penganjuran program RMC NorthQuest Perlis 2026, Jelajah Pesona Perlis bertemakan Satu Konvoi Seribu Keindahan.

Program anjuran Reappear Motorcycle Club Malaysia (RMC) yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober 2026 itu melibatkan 38 motosikal Harley-Davidson serta 61 peserta dan petugas dari Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Penganjuran program Motorcycle Tourism tahunan itu bertujuan memperkenalkan keunikan destinasi pelancongan tempatan melalui aktiviti jelajah bermotosikal, sekali gus menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Setiausaha RMC, Azizi Azran Abdullah ketika ditemui Siakap Keli di majlis yang sama di sini, hari ini. FOTO: Haziq Hakimi/ SK

Setiausaha RMC, Azizi Azran Abdullah berkata, Perlis dipilih sebagai destinasi pertama program berkenaan berikutan negeri itu mempunyai pelbagai lokasi menarik yang masih belum diterokai dan dipromosikan secara meluas.

Menurutnya, program tersebut bukan sekadar menghimpunkan peminat motosikal berkuasa tinggi, malah menjadi platform untuk memperkenalkan produk pelancongan, makanan tempatan serta keistimewaan sesebuah negeri kepada masyarakat.

“Untuk makluman, program jelajah ini merupakan penganjuran pertama RMC dan kita merancang untuk menjadikannya sebagai acara tahunan.

“Program ini lebih memberi tumpuan kepada usaha mempromosikan tempat-tempat menarik dan destinasi pelancongan yang berpotensi diketengahkan melalui komuniti permotoran dua roda.

“Pemilihan Perlis sebagai negeri pertama adalah kerana terdapat banyak tempat menarik yang masih belum diterokai secara meluas dan berpotensi untuk terus dipromosikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari kedua program RMC NorthQuest Perlis 2026 sempena Perlis Usahawan Fest 2026, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Azizi berkata, penganjuran berkenaan turut menjadi salah satu usaha komuniti permotoran membantu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperkenalkan destinasi pelancongan negara kepada lebih ramai pengunjung.

Jelasnya, selain menikmati keindahan lokasi yang dikunjungi, peserta turut berpeluang mengenali keistimewaan makanan tempatan serta menyokong aktiviti ekonomi masyarakat setempat.

“Kita mahu menjadikan program ini sebagai platform untuk membantu mempromosikan tempat-tempat menarik dan makanan tempatan yang terdapat di Perlis.

“Untuk penganjuran akan datang, kita merancang untuk meneruskan program sama di Perak yang akan menjadi negeri kedua bagi jelajah mempromosikan pusat pelancongan dan lokasi menarik di Malaysia,” ujarnya.

Ubah persepsi negatif terhadap komuniti permotoran

Mengulas mengenai cabaran penganjuran, Azizi berkata, antara perkara yang perlu dihadapi adalah penerimaan masyarakat terhadap program baharu selain persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan kumpulan motosikal.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa aktiviti permotoran sebenarnya mampu memberikan pelbagai impak positif termasuk dalam aspek pelancongan dan hubungan antara komuniti.

“Cabaran memang banyak terutama apabila kita menganjurkan program baharu, termasuk dari segi pemahaman dan penerimaan ahli terhadap aktiviti yang dilaksanakan.

“Pada masa sama, masyarakat kadangkala memandang kumpulan motosikal dari sudut negatif.

“Sebenarnya, komuniti permotoran juga mempunyai banyak elemen positif yang boleh memberikan impak kepada pelbagai sektor termasuk pelancongan di Malaysia,” jelasnya.

Hari kedua jelajah teroka destinasi menarik di Perlis

Pengasas Bersama RMC, Fadzlaini Ibrahim tiba pada Majlis Perlis Usahawan Fest 2026 di sini hari ini sempena RMC NorthQuest Perlis 2026. FOTO: Haziq Hakimi/ SK

Sementara itu, hari kedua penganjuran RMC NorthQuest Perlis 2026 pada Sabtu memberi tumpuan kepada aktiviti jelajah pelancongan bagi memperkenalkan keindahan alam semula jadi, warisan, budaya serta keistimewaan negeri Perlis.

Berdasarkan tentatif program, konvoi memulakan perjalanan seawal pukul 8 pagi dari Kompleks Belia dan Sukan, Kangar menuju ke Warung Seri Pemandangan di Sungai Batu Pahat sebagai lokasi persinggahan pertama.

Perjalanan kemudian diteruskan ke Gua Kelam di Kaki Bukit, iaitu antara destinasi pelancongan yang diketengahkan dalam program berkenaan, sebelum peserta menuju ke Padang Besar Street di Padang Besar.

Sepanjang perjalanan, peserta turut melalui beberapa laluan termasuk kawasan sekitar Timah Tasoh, Wang Kelian dan Padang Besar yang menawarkan suasana serta pemandangan menarik kepada komuniti penunggang motosikal.

Pada sebelah petang, konvoi dijadualkan meneruskan perjalanan ke Kupi Kahfi di Bukit Tau, Beseri sebelum menuju ke Dewan 2020, Kangar.

Jelajah seterusnya membawa peserta ke Kampung Wai, Kuala Perlis sebelum singgah di Chalet Kurong Tengar, Kuala Perlis pada sebelah malam.

Pengisian hari kedua itu turut memberi peluang kepada peserta menikmati suasana kampung, kawasan berbukit, sawah padi serta keunikan lokasi pelancongan tempatan sepanjang laluan konvoi.

Peserta teruja nikmati keindahan Perlis

Peserta dari Manjung Perak mewakili kelab Harley Davidson HOG Penang Chapter, Suhana Soeid ketika ditemui Siakap Keli di Perlis Usahawan Fest 2026, di sini, hari ini. FOTO: Haziq Hakimi/ SK

Dalam pada itu, peserta dari Manjung, Perak yang mewakili kelab Harley Owners Group (HOG) Penang Chapter, Suhana Soeid berkata, penyertaannya dalam program berkenaan memberikan pengalaman baharu apabila berpeluang menjelajah kawasan pedalaman Perlis buat pertama kali.

Menurutnya, keindahan sawah padi, kawasan berbukit serta suasana kampung yang dilalui sepanjang perjalanan menjadi antara pengalaman paling menarik sepanjang menyertai konvoi berkenaan.

“Ini kali pertama saya menunggang motosikal ke Perlis dan setakat ini memang seronok kerana dapat masuk ke kawasan kampung serta melihat pemandangan yang sangat cantik.

“Kita dapat tengok sawah padi, bukit-bukau dan gunung yang pemandangannya berbeza dengan tempat saya di Manjung.

“Walaupun saya berasal dari Ipoh, pengalaman menunggang motosikal melalui kawasan pedalaman di sini memang sesuatu yang menarik dan menyeronokkan,” katanya.

Suhana berkata, beliau turut berkesempatan mengunjungi sebuah kafe berhampiran kawasan pergunungan yang disifatkannya sesuai dijadikan lokasi persinggahan komuniti permotoran pada masa hadapan.

Jelasnya, suasana tenang serta pemandangan menarik di lokasi berkenaan mampu menjadi tarikan kepada lebih ramai penunggang motosikal untuk berkunjung ke Perlis.

“Saya suka suasana di kafe berhampiran gunung itu kerana tempatnya cantik dan tenang.

“Mungkin selepas ini, kumpulan penunggang motosikal lain boleh datang ke Perlis dan menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat berkumpul serta bersantai.

“Suasana seperti inilah yang sering dicari oleh komuniti penunggang motosikal apabila keluar menjelajah,” ujarnya.

Tambahnya, kunjungan ke Perlis Usahawan Fest 2026 turut memberi peluang kepadanya melihat pelbagai produk yang diketengahkan oleh usahawan tempatan.

“Di sini banyak gerai yang boleh kita kunjungi dan kita dapat melihat produk yang ditawarkan oleh usahawan tempatan.

“Secara keseluruhannya, saya sangat gembira dan pengalaman sepanjang berada di Perlis memang menyeronokkan,” katanya.

Konvoi turut mendapat kerjasama agensi penguat kuasa

Penganjuran program berkenaan turut disertai Pengasas Kelab Motosikal Reappear MC, Azahar Ngah, Pengasas Bersama, Fadzlaini Ibrahim serta Presiden Reappear MC, Abdul Rahman Kasim yang turut dikenali sebagai Man Rajalawak.

Kelab RMC yang ditubuhkan pada 2019 menjadi antara platform menghimpunkan peminat motosikal berkuasa tinggi menerusi aktiviti konvoi dan pengembaraan bermotosikal.

Sepanjang dua hari perjalanan konvoi di Perlis, aspek keselamatan turut diberikan perhatian menerusi kawalan dan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pergerakan peserta berjalan lancar.

Sementara itu, Shell Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kawalan Keselamatan Sentral dan Sembang@Jalan Sultan Ismail merupakan antara rakan strategik serta penaja yang terlibat dalam menjayakan penganjuran kali ini.

Menerusi kerjasama Shell Malaysia, beberapa stesen minyak turut disenaraikan sebagai lokasi persinggahan bagi membolehkan peserta berehat dan mengisi minyak sepanjang perjalanan konvoi.

Antaranya ialah Shell NSE Tanjong Malim, Shell RTC Simpang Pulai, Shell Alor Pongsu dan Shell R&R Gurun sebelum peserta meneruskan perjalanan ke Shell Padang Besar, Perlis pada hari pertama.

Penganjuran RMC NorthQuest Perlis 2026 itu diharap dapat menjadi platform berterusan bagi memperkukuh promosi destinasi pelancongan negara selain menggalakkan penyertaan komuniti permotoran dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada industri pelancongan tempatan.

Intipati
  • RMC NorthQuest Perlis 2026 berlangsung tiga hari dengan 38 motosikal Harley-Davidson dan 61 peserta.
  • Program itu bertujuan mempromosikan destinasi pelancongan, makanan tempatan dan ekonomi masyarakat setempat.
  • RMC merancang meneruskan jelajah sama di Perak sebagai negeri kedua tahun depan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan