KUALA LUMPUR: Keterujaan penerbit dan ahli perniagaan kelahiran Iraq yang membesar di Malaysia, Abdulrahman Suud kini berganda-ganda apabila filem terbitannya menerusi produksi Inifinity Films bersama produksi mega negara Arab, Synergy Plus bakal ditayangkan bermula 8 Oktober depan.
Filem yang asalnya diberi judul Mr VIP dan kini ditukar ke Wanted by Family atau Matlob A’liliyan (bahasa Arab) itu bakal ditayangkan di lebih 25 buah negara meliputi lebih 450 pawagam.

Kata Abdulrahman lagi, filem arahan Mootaz El Tomy itu juga dalam rangka perbincangan dan pengesahan untuk ditayangkan di Malaysia dengan bantuan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
“Untuk tayangan di Malaysia, pihak kami sudah menguruskan dokumen berkaitan dengan kerjasama serta bantuan FINAS. Pihak kami juga sudah bertemu Ketua Pegawai Eksekutif organisasi berkenaan, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
“Ikut perancangan tayangan di Malaysia juga berkemungkinan besar dalam bulan sama. Semoga segala yang dirancangkan akan dipermudahkan,” kata Abdulrahman.
Menjelaskan lagi secara terperinci, Abdulrahman berkata antara 25 negara yang bakal menayangkan filem lakonan bintang sensasi Arab, Karim Abdel Aziz dan Yasmine Sabri
Itu termasuklah negara Arab seperti Egypt, Qatar, Iraq, Oman, Lebanon, Kuwait, Bahrain, Syria, Morocco, Algeria, Tunisia dan Jordan.
“Tak ketinggalan di lokasi seperti Amerika Syarikat, Kanada, Turki, Australia, United Kingdom, Ireland, Perancis, Sepanyol, Portugal, Itali, Jerman, Switzerland dan Sweden.
“Negara lain, termasuklah Poland, Belgium, Holland, Denmark, Netherlands, Norway, Luxembourg, Finland, Greece, Brazil dan Argentina,” katanya optimis.
Bercerita lanjut mengenai filem yang turut mengambil lokasi penggambaran lebih 40 peratus di Malaysia itu, Abdulrahman optimis menjadikan medium seni sebagai ruang mempromosikan industri pelancongan tanah air.

“Macam saya tekankan dalam kenyataan sebelum ini, kecintaan saya terhadap Malaysia tiada kompromi. Sejak usia lapan tahun lagi saya datang ke Malaysia saat ibu bapa menerima tawaran kerja di ibu kota.
“Bersekolah dan mencari rezeki di Malaysia selain pernah menetap di Jepun dan India, bumi Malaysia sudah memahat rasa paling istimewa yang lahir tanpa prejudis. Justeru, saya mahu usaha menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama syarikat penerbitan filem dan TV negara Arab akan mencipta kesinambungan,” Katanya.
Tambah Abdulrahman lagi, dia optimis sambil menyifatkan filem
bercorak komedi sosial yang turut dibintangi pelawak terkenal Mesir, Mostafa Khater itu bakal meningkatkan lagi tarikan sektor pelancongan tanah air.
“Kalau tonton treler filem ini, peminat Karim Abdul Aziz dan Yasmin Sabri khususnya akan ‘teracun’ untuk menjejaki lokasi dan destinasi menarik Malaysia yang dipaparkan. Malah nama Malaysia sendiri disebut berulang kali dalam filem ini.
Wanted By Family Promosi Malaysia Menerusi Paparan Ikonik KLCC, Menara KL Dan Lokasi Menarik Negara
“Melihat ‘footage’ treler ini sendiri saya takjub melihat bagaimana tarikan bangunan pencakar langit seperti KLCC, Menara KL dan Bangunan Sultan Abdul Samad contohnya ‘dipromosikan dengan begitu indah.
“Itulah juga yang saya sasarkan dalam penerbitan filem sebegini. Malah saat ini, saya dalam rangka memulakan projek filem baharu dengan judul sementara, One Way Ticket di Malaysia membabitkan lokasi lain di negara ini,” Katanya.
Julai lalu, berita mengenai penggambaran filem yang mengambil latar Malaysia dilaporkan media.
Malah, filem terbabit turut mendapat sokongan kerajaan Malaysia, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC)c Agensi Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Istimewa juga produksi filem itu menggunakan 220 orang kru tempatan. Selain, 33 kru termasuk artis dari Mesir.
