Sebanyak 38 motosikal Harley-Davidson bersama 61 peserta dan petugas menyertai Konvoi RMC NorthQuest Perlis 2026 bagi mempromosikan keunikan destinasi pelancongan negeri itu menerusi jelajah bermotosikal.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, penganjuran konvoi berkenaan bukan sahaja mengeratkan persaudaraan dalam kalangan peminat motosikal berkuasa tinggi, malah membuka peluang untuk memperkenalkan destinasi pelancongan tempatan.
Menurut beliau, setiap persinggahan sepanjang perjalanan memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan alam semula jadi, mengenali budaya dan warisan serta menyokong perniagaan setempat.
“Perbelanjaan untuk makanan, penginapan dan produk tempatan dapat membantu merancakkan ekonomi komuniti sepanjang laluan konvoi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelepasan Konvoi RMC NorthQuest Perlis 2026, Jelajah Pesona Perlis bertemakan “Satu Konvoi Seribu Keindahan” di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Putrajaya, pagi ini.
Jelasnya, pemilihan Perlis sebagai destinasi amat bertepatan memandangkan negeri itu mempunyai keindahan alam, keunikan makanan tradisional serta keramahan masyarakat yang wajar diterokai dan dikongsikan kepada orang ramai.
Ujarnya, peserta turut digalakkan berkongsi pengalaman sepanjang perjalanan menerusi media sosial bagi memperkenalkan destinasi yang dikunjungi serta usahawan tempatan kepada khalayak lebih luas.
Beliau berkata, aspek keselamatan perlu diberikan keutamaan sepanjang konvoi berlangsung, termasuk memastikan motosikal berada dalam keadaan baik, menggunakan kelengkapan keselamatan yang sesuai serta mematuhi undang-undang jalan raya.
Menurutnya, MOTAC menyambut baik hasrat penganjur untuk menjadikan program berkenaan sebagai acara tahunan yang berpotensi menyokong promosi pelancongan domestik dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

Program Motorcycle Tourism tahunan anjuran Reappear Motorcycle Club Malaysia (RMC) itu berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Program berkenaan turut mengetengahkan tarikan alam semula jadi, warisan, budaya serta keistimewaan pelancongan negeri Perlis.
Hari pertama konvoi menyaksikan peserta memulakan perjalanan ke Perlis seawal pagi dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Putrajaya.
Dalam pada itu, Presiden Kelab Motosikal Reappear MC, Abdul Rahman Kasim atau lebih dikenali sebagai Man Rajalawak berkata, penyertaan dalam kelab berkenaan bukan sekadar aktiviti bermotosikal, sebaliknya menjadi medium mengeratkan hubungan sesama ahli.
Katanya, semangat kebersamaan menjadi antara perkara yang ditekankan dalam RMC, termasuk usaha merapatkan hubungan dalam kalangan ahli tanpa mengira jarak.
“Di RMC ini, yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapat-rapatkan,” ujarnya.
Turut serta dalam majlis berkenaan ialah Pengasas Kelab Motosikal Reappear MC, Azahar Ngah dan Pengasas Bersama kelab itu, Fadzlaini Ibrahim.
Bagi memastikan kelancaran perjalanan, kawalan keselamatan dilaksanakan dengan penglibatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut bekerjasama dengan JPJ bagi kawalan sepanjang dua hari konvoi di Perlis.
Dalam memastikan perjalanan konvoi RMC NorthQuest Perlis 2026 berjalan lancar, beberapa stesen minyak Shell dikenal pasti sebagai lokasi persinggahan bagi mengisi minyak dan merehatkan diri sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perlis.
Antara lokasi yang disenaraikan ialah Shell NSE Tanjong Malim, Shell RTC Simpang Pulai, Shell Alor Pongsu, Shell R&R Gurun dan Shell Padang Besar, Perlis sebagai perhentian stesen terakhir.
Persinggahan itu turut memberi ruang kepada peserta untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, sekali gus membantu melancarkan pergerakan konvoi sepanjang program berlangsung.
Konvoi kali ini turut mendapat sokongan rakan strategik dan penaja, iaitu Shell Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kawalan Keselamatan Sentral dan Sembang@Jln Sultan Ismail.

