Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA TERENGGANU, 13 Ogos (Bernama) -- Seorang penjual ikan mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki menggunakan sebilah pisau pemotong daging, Ahad lepas.
Zawawi Zahid, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Yusnaliza Mohammad Yusoff.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun dengan mengejarnya sambil memegang pisau pemotong daging di sebuah stesen minyak di Pasir Panjang di sini, kira-kira 4.30 petang, 9 Ogos.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Husna Zukepeli @ Zulkifli dan Nur Jawahir Mohd Zulmajdi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Dalam prosiding sama, Zawawi turut mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada 9 Julai 2022.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Mahkamah turut membenarkan dia diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Majistret Yusnaliza menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula fakta kes dan jatuh hukum bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.