Seorang lelaki dari Woking, United Kingdom, berjaya menjual koleksi kad Pokémon miliknya pada harga keseluruhan lebih RM8.5 juta (£1.56 juta) selepas ia disimpan selama kira-kira 15 tahun, lapor BBC.
Lebih mengejutkan, lelaki itu pada awalnya tidak tahu kad-kad berkenaan mempunyai nilai tinggi.
Dia hanya menyedarinya selepas membaca berita dalam akhbar tempatan mengenai sekeping kad Pokémon yang dijual pada harga lebih RM32,700 (£6,000).
Lelaki yang enggan dikenali itu mula mengumpul kad berkenaan pada penghujung 1990-an selepas anaknya mula mendapatkan dan bertukar-tukar kad dengan rakan di sekolah.
“Saya fikir kad-kad itu nampak menarik dan tertanya-tanya sama ada ia boleh menjadi pelaburan yang baik,” katanya.
Menurutnya, anak lelakinya mempunyai koleksi sendiri, namun tidak pernah menyentuh kad-kad yang kemudian disimpan di loteng selepas dia hilang minat terhadap Pokémon.
Kad Pokemon dibeli daripada penjual di Malaysia

Antara koleksi itu ialah beberapa set lengkap yang dibelinya daripada seorang penjual di Malaysia menerusi eBay.
Salah satu set yang dibeli pada harga lebih RM1,600 (£300) ketika itu berjaya dilelong pada harga lebih RM408,000 (£75,000).
Kesemua kad masih berada dalam keadaan berbalut dan disimpan dalam fail khas Pokémon. Koleksi itu kemudian dibawa ke rumah lelong Ewbank’s di Surrey, yang menyifatkan lelongan tersebut sebagai jualan kad koleksi paling bernilai pernah diadakan di United Kingdom.
Menurut ketua bahagian kad koleksi Ewbank’s, James Spooner, mereka terkejut melihat keadaan koleksi itu yang masih elok dan lengkap.
Item paling mahal ialah set Legendary Collection Complete Master Set, termasuk kad Charizard dalam keadaan hampir sempurna. Set itu pada awalnya dianggarkan bernilai antara RM81,000 (£15,000) hingga RM109,000 (£20,000), namun berjaya dijual pada harga RM545,000 (£100,000).
Dapat perhatian pengumpul seluruh dunia
Lelongan itu turut menarik pembida dari pelbagai negara.
Pengarah Ewbank’s, Andrew Ewbank, berkata koleksi berkenaan mendapat sambutan luar biasa kerana keadaannya yang masih tidak terusik dan mempunyai banyak kad rare.
Menurutnya, minat terhadap Pokémon ketika ini semakin meningkat, termasuk dalam kalangan mereka yang membesar dengan francais itu dan kini mempunyai wang lebihan untuk berbelanja.
“Unsur nostalgia memainkan peranan besar. Ia mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak,” katanya.
Jumlah jualan koleksi itu turut mengatasi rekod terdahulu yang dicatatkan di London pada 9 Oktober lalu, apabila lelongan oleh Stanley Gibbons meraih lebih RM4.2 juta (£872,000).
