Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

'Daging' Cetakan 3D Kini Dijual Di Pasar Raya Di AS

Daging Cetakan 3D
Kredit: X MarioNawfal

Dunia teknologi pencetakan tiga dimensi (3D printing) kini meneroka industri makanan apabila produk ‘daging’ berasaskan tumbuhan yang dihasilkan menerusi teknologi itu mula dijual di pasar raya terpilih di timur laut Amerika Syarikat (AS), lapor Forbes.

Produk di bawah jenama Perfecta Premium Plant-Based Meat itu merupakan keluaran syarikat teknologi makanan berpangkalan di Israel, Steakholder Foods Ltd.

Pemasarannya dilaksanakan menerusi kerjasama dengan KeHE Distributors, sebuah syarikat yang mengedarkan makanan semula jadi dan khusus di seluruh AS.

Daging Cetakan 3D

Antara produk yang diperkenalkan termasuk alternatif kepada stik dengan corak lemak berjalur, filet mignon, dada ayam, patty ikan putih dan patty salmon.

Semua produk tersebut berasaskan tumbuhan, dijual dalam keadaan sejuk beku dan dihasilkan menggunakan teknologi milik syarikat yang berpangkalan di Ness Ziona, Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif Steakholder Foods, Arik Kaufman, berkata pelancaran itu menandakan kali pertama produk Perfecta ditawarkan kepada pengguna melalui jualan runcit.

“Pelancaran kami di timur laut Amerika Syarikat merupakan satu langkah ke hadapan yang mengujakan apabila Perfecta mula menemui pengguna melalui rak kedai buat pertama kali.

“Kami percaya kategori makanan berasaskan tumbuhan sudah bersedia menerima generasi baharu produk yang menawarkan cita rasa dan pengalaman menikmati makanan tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Kaufman, syarikat itu turut berhasrat memperluas kehadiran produknya di kedai serta rangkaian pengedaran seiring peningkatan permintaan pengguna.

Buat masa ini, produk berkenaan boleh didapati di kedai makanan khusus terpilih di beberapa negeri, termasuk New York, New Jersey, Maryland, Pennsylvania dan Massachusetts.

Setiap bungkusan dijual pada harga sekitar AS$10.

Dari segi kandungan, rangkaian produk Perfecta bagi pasaran AS menggunakan bahan yang serupa dengan produk daging tiruan lain.

Bahan Daging 3D

Air disenaraikan sebagai bahan pertama, diikuti tepung gandum, metilselulosa iaitu bahan pemekat berasaskan tumbuhan, minyak biji sesawi dan perisa semula jadi.

Satu hidangan stik berasaskan tumbuhan seberat 8.8 auns mengandungi 220 kalori, 26 gram protein, 26 gram karbohidrat, 3.5 gram lemak dan 10 gram serat.

Produk itu turut mengandungi 1,030 miligram natrium, bersamaan 45 peratus daripada saranan pengambilan harian yang dinyatakan.

Walaupun semua produk tersebut sesuai untuk vegan, ia tidak sesuai bagi individu yang mempunyai alahan terhadap gandum atau soya.

Di peringkat antarabangsa, Steakholder Foods telah memasarkan produk protein cetakan 3D di Israel dan Taiwan selama beberapa tahun.

Pada 2023, syarikat itu turut memperkenalkan produk belut cetakan 3D menggunakan bahan berasaskan tumbuhan, dengan sasaran menggunakan sel yang dikultur pada masa hadapan.

Selain Steakholder Foods, syarikat Revo Foods yang berpangkalan di Vienna turut menghasilkan makanan laut berasaskan tumbuhan.

Sementara itu, Novameat di Barcelona mengkhusus dalam penghasilan daging merah tiruan berasaskan tumbuhan melalui cetakan 3D, termasuk alternatif kepada daging lembu, kambing biri-biri dan babi.

Intipati
  • Produk Perfecta mula dijual di pasar raya terpilih di timur laut Amerika Syarikat.
  • Rangkaian itu merangkumi alternatif stik, filet mignon, dada ayam dan patty ikan.
  • Setiap bungkusan dijual sekitar AS$10 dan sesuai untuk vegan, menurut maklumat produk.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan