Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Penjawat Awam Johor Terima Bonus Dua Setengah Bulan Gaji Disember Ini

bonus
Kredit: Bernama

Penjawat awam negeri Johor bakal menerima bonus sebanyak dua setengah bulan gaji sebagai penghargaan kerajaan negeri terhadap khidmat bakti dan komitmen mereka dalam memastikan urusan pentadbiran serta pembangunan negeri terus berjalan lancar.

Iklan

Insentif khas berkenaan turut diberikan kepada kakitangan awam Persekutuan yang menerima bayaran gaji daripada kerajaan negeri dan dijadualkan disalurkan pada penghujung Disember ini.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2027 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, pada Khamis.

Menurut Onn Hafiz, penjawat awam negeri merupakan tulang belakang kepada pentadbiran serta penggerak utama dalam memastikan agenda pembangunan yang dirancang kerajaan negeri dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mengumumkan Bantuan Kasih Johor sebanyak RM500 kepada setiap 145,648 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri berkenaan.

Beliau berkata, bantuan tersebut membabitkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM72.8 juta sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan penjawat awam Persekutuan yang turut memainkan peranan penting dalam pembangunan Johor.

Dalam perkembangan sama, Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Persekutuan atas peruntukan sebanyak RM4.86 bilion kepada Kerajaan Johor menerusi Rolling Plan Kedua 2027 di bawah Rancangan Malaysia Ke 13.

“Kerjasama antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan amat penting.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan momentum pembangunan Johor dapat diteruskan, seiring dengan usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Intipati
  • Penjawat awam negeri Johor bakal menerima bonus dua setengah bulan gaji Disember ini.
  • Insentif khas turut melibatkan kakitangan awam Persekutuan bergaji daripada kerajaan negeri.
  • Bantuan Kasih Johor RM500 akan diberikan kepada 145,648 penjawat awam Persekutuan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan