Cadangan menaikkan upah bulanan personel Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) kepada RM2,000 hingga RM2,600 mulai 1 Januari 2027 antara perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam perbahasan di Parlimen.
Menurutnya, cadangan itu dikemukakan selepas menerima permintaan daripada beberapa personel MySTEP dan pegawai lantikan kontrak (CoS) supaya isu kebajikan serta sumbangan mereka diberikan perhatian.
Beliau berkata, kadar upah sedia ada bagi personel MySTEP wajar disemak semula bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan lebih terjamin.
Selain itu, Radzi turut mencadangkan supaya pengalaman serta prestasi personel MySTEP dan pegawai CoS diambil kira dalam proses pelantikan ke jawatan tetap melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Jelasnya, golongan berkenaan sudah mempunyai pengalaman melaksanakan tugasan dalam perkhidmatan kerajaan, justeru pengalaman kerja serta prestasi mereka wajar diberikan pertimbangan.
Dalam perbahasan sama, beliau turut membangkitkan isu kemudahan parkir yang dihadapi penjawat awam, khususnya mereka yang bertugas di Putrajaya.
Katanya, kekurangan ruang parkir percuma menyebabkan ramai penjawat awam terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membayar parkir setiap kali hadir bekerja.
Sehubungan itu, Radzi sekali lagi mencadangkan supaya kemudahan bayaran balik parkir sehingga RM90 sebulan diberikan perhatian dan pelaksanaannya diselaraskan.
Beliau berkata, penyelarasan tersebut penting bagi memastikan semua penjawat awam yang layak dapat menikmati kemudahan bayaran balik mengikut kadar ditetapkan.
Ujarnya, langkah berkenaan diharap dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan penjawat awam yang terpaksa menanggung kos parkir ketika menjalankan tugas.


