Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Radzi Jidin Minta JAKIM Siasat Isu Halal Dan Kebersihan Premis Pemprosesan Ayam

JAKIM
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta segera menyiasat kaedah penyembelihan dan status halal susulan penularan video pemprosesan ayam serta isu kebersihan di sebuah premis di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau menerima banyak aduan berhubung video berkenaan yang tular di media sosial.

Menurutnya, siasatan pihak berkuasa perlu merangkumi kaedah penyembelihan, status halal, serta destinasi bekalan dan penjualan ayam yang diproses di premis terbabit.

Beliau turut menggesa supaya siasatan bersepadu dijalankan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Imigresen.

“Siasatan bersepadu bersama DBKL, KKM dan Jabatan Imigresen perlu dijalankan bagi meneliti aspek kebersihan serta pematuhan undang undang, kemungkinan penyalahgunaan logo halal serta status permit pekerja asing,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Radzi berkata, tindakan tegas perlu diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran undang undang.

“Isu halal dan keselamatan makanan tidak boleh dipandang ringan!” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa aduan rasmi sudah dikemukakan kepada Pejabat Ketua Pengarah Jakim untuk tindakan siasatan, selain perkara itu turut dimaklumkan kepada Pejabat Menteri Agama.