Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pemergian Siti Hasmah Tinggalkan Sejuta Kenangan - Mokhzani

HASMAH
Kredit: Bernama

PUTRAJAYA, 28 Sept (Bernama) -- “Tiada satu pun kenangan terakhir, sebaliknya terdapat jutaan kenangan,” demikian luahan Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika mengenang ibunya Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.

Mokhzani berkata beliau bersyukur kerana berpeluang menghabiskan banyak masa bersama dengan ibunya itu dalam beberapa siri pertemuan keluarga, baru-baru ini.

“Saya sangat gembira kerana kami mempunyai banyak masa untuk diluangkan bersama-sama beliau. Keluarga kami sering berkumpul dalam beberapa bulan, minggu dan hari yang lepas. Jadi, banyak kenangan yang dicipta,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengebumian ibunya di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham Dr Siti Hasmah selamat dikebumikan pukul 6.20 petang di Pusara Negara di Presint 20, di sini dengan dihadiri suami, Tun Dr Mahathir Mohamad, anak-anak serta ahli keluarga.

Istiadat Pengebumian Pembesar Negara diadakan sebagai penghormatan terakhir kepada isteri bekas Perdana Menteri itu yang meninggal dunia di IJN pada 9.20 pagi, pada usia 100 tahun.

Sementara itu, Mokhzani berkata semua ahli keluarga terkejut dengan pemergian ibunya kerana beliau kelihatan ceria ketika mendapatkan rawatan di IJN semalam.

“Memang kami terkejut pagi tadi kerana semalam keluarga berada bersama dengan Allahyarham di IJN. Begitu ceria, mesra, tetapi pagi tadi ada perbezaan yang besar dan halnya tidak dapat dipulihkan dan beliau telah meninggal,” katanya.

Mokhzani turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memastikan urusan pengebumian Allahyarham ibunya berjalan dengan lancar, termasuk petugas kawalan, tentera, Polis Diraja Malaysia serta agensi kerajaan.

“Terima kasih semua yang datang hari ini. Insya-Allah, kita akan adakan majlis tahlil di rumah malam ini selepas isyak dan mungkin esok dan hari ketiga juga,” katanya.

Mengenai keadaan Dr Mahathir, Mokhzani percaya bapanya itu akan dapat menerima pemergian ibunya dengan reda dan tenang.

“(Bapa) okey, tetapi pastinya hari ini ialah satu hari yang sangat-sangat luar biasa … beliau akan okey, insya-Allah,” katanya.

-- BERNAMA

Intipati
  • Mokhzani Mahathir menyifatkan pemergian ibunya meninggalkan jutaan kenangan bersama keluarga.
  • Dr Siti Hasmah meninggal dunia di IJN pada usia 100 tahun pagi tadi.
  • Jenazah dikebumikan di Pusara Negara dengan kehadiran Dr Mahathir, anak-anak dan keluarga.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan