Kehilangan ibu bapa sudah tentu menjadi antara perkara paling sukar untuk dihadapi, apatah lagi apabila insan tersayang itu tidak lagi dapat menemani perjalanan hidup kita.
Namun, sokongan daripada orang sekeliling sedikit sebanyak mampu meringankan beban, lebih-lebih lagi apabila mereka melakukan sesuatu yang membuatkan kenangan bersama insan tersayang terus hidup.
Begitulah kisah menyentuh hati seorang pekerja Rockstar Games, syarikat di sebalik permainan popular Grand Theft Auto (GTA), yang terharu dengan tindakan majikannya mengabadikan nama kedua ibu bapanya dalam GTA 6.
Nama Mendiang Ibu Bapa Pekerja Rockstar Diabadikan Dalam GTA 6

Menerusi satu perkongsian di Threads, pekerja yang menggunakan akaun @krato_n_cleo itu meluahkan rasa terharu terhadap usaha Rockstar menghargai pekerja yang kehilangan ahli keluarga tersayang sepanjang proses pembangunan permainan berkenaan.
Ujarnya, dia tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja melihat nama kedua ibu bapanya tertera pada sebuah bangunan memorial dalam dunia permainan tersebut.
Lebih menyentuh perasaannya, nama kedua-dua insan tersayang itu akan terus menjadi sebahagian daripada dunia GTA 6, sekali gus membolehkannya mengunjungi memorial berkenaan setiap kali bermain permainan tersebut.
“Saya sangat menghargai usaha Rockstar yang mengenang pekerja yang kehilangan ahli keluarga tersayang ketika permainan GTA VI dibangunkan.
“Saya menangis sebaik sahaja melihat nama ibu bapa saya dalam permainan itu buat kali pertama. Saya terharu kerana mereka akan terus menjadi sebahagian daripada dunia GTA VI dan saya boleh mengunjungi tempat nama mereka diabadikan pada bila-bila masa.
“Terima kasih, Rockstar. Saya amat menghargai segala yang dilakukan. Rindu ibu dan ayah,” katanya.
Dalam perkongsian sama, @krato_n_cleo turut memuat naik beberapa keping foto yang memperlihatkan nama kedua ibu bapanya tertera pada memorial berkenaan.
Walaupun kedua-dua ibu bapanya sudah tiada, penghargaan kecil daripada Rockstar itu membolehkan kenangan terhadap mereka terus diabadikan dalam sebuah dunia permainan yang dibangunkan oleh syarikat berkenaan.
Bagi pekerja tersebut, peluang untuk mengunjungi memorial itu dalam GTA 6 pastinya membawa makna yang cukup besar, terutama apabila dapat merasakan ibu bapanya masih menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

