Menjelang pelancaran permainan video Grand Theft Auto VI (GTA 6), syarikat aksesori komputer, Logitech memberikan cuti khas kepada 7,000 pekerjanya di seluruh dunia untuk bermain permainan video.
Inisiatif dikenali sebagai “Logi Game Day” itu membolehkan semua pekerja, termasuk kakitangan sepenuh masa dan pelatih industri, mengambil cuti sehari untuk bermain permainan pilihan mereka.
Menariknya, pekerja boleh menggunakan cuti khas itu pada bila-bila masa dari sekarang sehingga tempoh sama tahun depan, mengikut kesesuaian masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Logitech, Hanneke Faber berkata, sudah tiba masanya masyarakat berhenti menganggap permainan video sebagai aktiviti yang membuang masa.
“Sebagai syarikat yang menghasilkan produk untuk kegunaan kerja dan hiburan, kami melihat sendiri bagaimana penglibatan dalam satu bidang boleh meningkatkan prestasi dalam bidang lain,” katanya.

Faber sendiri merancang untuk turut serta bermain permainan video pada 19 November ini, namun beliau tetap akan ke pejabat bagi menyertai acara penstriman syarikat.
Sempena acara itu, ruang pejabat Logitech akan diubah menjadi pusat permainan video lengkap untuk pekerja menikmati aktiviti berkenaan bersama rakan sekerja.
Tarikh tersebut bukan dipilih secara kebetulan kerana ia turut menandakan pelancaran GTA 6, namun pekerja boleh menyimpan cuti mereka sehingga 2027.
“Saya sudah bersedia untuk berseronok dan bersaing secara sihat,” katanya kepada Fortune.
Bermain Permainan Video Boleh Tingkatkan Produktiviti
Sebelum ini, satu anggaran mencadangkan ekonomi Amerika Syarikat (AS) berpotensi mengalami kerugian sehingga AS$1 bilion (kira-kira RM4.1 bilion) akibat penurunan produktiviti.
Situasi itu dijangka berlaku apabila kira-kira 1.5 juta pekerja mungkin mengambil cuti atau tidak hadir bekerja sempena pelancaran GTA 6.
Logitech Beri Cuti Khas Kepada Pekerja Sempan Pelancaran GTA 6

Bagaimanapun, seorang ahli ekonomi dari College of the Holy Cross, Victor Matheson, berpandangan kehilangan produktiviti tidak semestinya membawa kesan buruk.
Beliau yang mengkaji bidang sukan dan acara besar berkata, kebahagiaan pekerja juga perlu diambil kira walaupun mereka menghabiskan masa bekerja untuk bermain permainan video.
“Walaupun perkara itu benar, ia tidak semestinya sesuatu yang buruk jika orang ramai lebih gembira.
“Tambahan pula, jumlahnya agak kecil jika dilihat dalam gambaran yang lebih besar,” katanya kepada Fortune sebelum ini.
Logitech sebaliknya percaya pemberian masa khas untuk bermain permainan video sebenarnya mampu membantu pekerja menjadi lebih produktif.
Kajian diterbitkan Logitech bulan lalu melibatkan 900 orang dewasa dan 100 pemain permainan video dari sembilan negara turut menunjukkan hasil menarik.
Empat daripada lima responden bersetuju bahawa permainan video membantu meningkatkan keyakinan ketika berdepan cabaran kehidupan sebenar.
Malah, aktiviti itu turut membantu mereka kekal tenang dan fokus ketika berhadapan situasi yang memberikan tekanan tinggi.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Logitech, Elaine Laird berkata, bermain permainan video bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan tuntutan pekerjaan.
“Apabila seseorang mempunyai masa khusus untuk berehat, melepaskan tekanan dan menikmati permainan, mereka akan kembali bekerja dengan fokus lebih baik, tenaga baharu dan pendekatan berbeza untuk menyelesaikan masalah rumit,” katanya.
Malah, barisan pengurusan Logitech sendiri turut mengamalkan perkara yang disarankan kepada pekerja mereka.
Laird misalnya sering bersaing secara sihat dengan rakan sekerja menerusi permainan teka-teki blok mudah alih, Block Blast.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Logitech, Matteo Anversa merancang menggunakan cuti khasnya untuk bermain Forza menerusi peralatan simulasi perlumbaan.
Namun begitu, GTA 6 dijangka menjadi permainan paling dinanti-nantikan apabila dilancarkan tidak lama lagi.
Permainan tersebut diramal menjadi antara pelancaran hiburan terbesar tahun ini, dengan hampir lapan juta salinan dianggarkan sudah terjual.
“Jika pekerja memilih untuk menghabiskan masa cuti permainan mereka dengan meneroka Vice City pada hari pelancaran, kami tidak akan merungut,” kata jurucakap Logitech kepada Fortune.

