KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan pemakaian sut peralatan perlindungan diri (PPE) kepada pegawai penyiasat yang menjalankan siasatan berkaitan kemalangan maut di lebuh raya.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata sebagai langkah permulaan, PPE mula diedarkan hari ini untuk kegunaan pegawai penyiasat di Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) Zon Utara.
Inisiatif baharu itu diperkenalkan JSPT dalam usaha mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan pegawai dan anggota trafik.
“JSPT sentiasa peka dengan keselamatan dan kesihatan pegawai serta anggota trafik yang melaksanakan tugas di lapangan terutama ketika negara masih berdepan pandemik COVID-19.
“Oleh itu, setiap pegawai penyiasat serta pembantu pegawai penyiasat perlu memakai PPE ketika menjalankan siasatan di lokasi kemalangan maut,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, bagi siasatan kemalangan kecil, pegawai penyiasat hanya perlu memakai pelitup muka serta sarung tangan ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
“Prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam normal baharu seperti penjarakan sosial perlu dipatuhi oleh setiap anggota,” katanya.
— BERNAMA