KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Polis mengesahkan dua kertas siasatan dibuka secara berasingan berhubung dakwaan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima rasuah berjumlah RM350,000 pada 2017 daripada seorang individu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata siasatan dibuat susulan laporan polis yang diterima berhubung isu berkenaan, yang turut ditularkan di beberapa platform media sosial.
Beliau berkata kertas siasatan pertama dibuka di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan penjawat awam menerima benda berharga tanpa balasan daripada pihak yang mempunyai hubungan dalam urusan rasmi.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata siasatan kedua pula dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan memfitnah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Beliau berkata aspek kedua siasatan turut merangkumi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Menurut Kumar, pihak polis juga akan mengemukakan permohonan Perintah Untuk Menyiasat (OTI) di bawah Seksyen 108(2) Kanun Tatacara Jenayah kepada Pendakwa Raya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Langkah ini termasuk merakam percakapan saksi-saksi berkaitan serta mendapatkan pengesahan mengenai status siasatan terdahulu daripada pihak SPRM,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes berkenaan dan menasihati masyarakat supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab demi memastikan keamanan serta keselamatan negara kekal terpelihara.
Terdahulu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa SPRM dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menyiasat segera dakwaan membabitkan pegawai kanan itu demi memelihara integriti agensi berkenaan.
Kes itu pernah disiasat SPRM pada 2018, namun siasatan itu ditutup selepas tiada sebarang bukti kesalahan ditemukan ketika itu.

