Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pakai Sari Ketika Berlari Dan Berbasikal, Aksi Wanita Ini Curi Perhatian Di Dubai

sari
Kredit: Instagram Kanchana Nair

Jika kebanyakan peserta memilih pakaian sukan ketika menyertai acara larian, seorang wanita warga India pula mencuri perhatian apabila tampil mengenakan pakaian tradisional sari sepanjang menyertai acara Dubai Run 2026.

Iklan

Lebih menarik, Kanchana Nair bukan sekadar hadir untuk bergaya, sebaliknya berjaya menyertai laluan larian sejauh 10 kilometer dengan mengenakan sari berwarna merah, blaus hijau serta bunga melur putih yang diselitkan pada rambutnya.

Kredit: Instagram Kanchana Nair

Wanita kelahiran Kerala yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu berkata, pemilihan warna pakaian berkenaan dibuat sebagai tanda penghormatan kepada negara tersebut menjelang sambutan Hari Kebangsaan UAE ke 55.

“Saya mahu memberikan penghormatan kepada UAE menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke 55,” katanya kepada Gulf News selepas acara berkenaan.

Video penyertaannya itu pantas mendapat perhatian di media sosial apabila meraih lebih 500,000 tontonan di Instagram pada penghujung hari acara berlangsung.

Walaupun terdapat peserta lain yang turut mengenakan pakaian tradisional India ketika menyertai laluan lima kilometer, Kanchana tampil berbeza apabila memilih laluan lebih mencabar sejauh 10 kilometer dan berjaya berlari sepanjang sebahagian besar perjalanan.

Menariknya, penyertaan itu bukan pengalaman pertama Kanchana menyertai acara kecergasan di Dubai dengan mengenakan sari.

Pada 1 November lalu, sempena Hari Pembentukan Kerala, wanita itu turut menyertai acara Dubai Ride 2026 dengan memakai sari tradisional negeri kelahirannya sebagai tanda penghormatan kepada tanah air.

Kredit: Instagram Kanchana Nair

Sambutan berkenaan lebih bermakna apabila Kerala genap berusia 70 tahun dan meraikan ulang tahun pertamanya menggunakan nama rasmi baharu, Keralam.

“Saya merasakan tiada cara yang lebih baik untuk memberikan penghormatan kepada Kerala, tempat asal saya, sebagai seorang wanita Malayali yang menetap di Dubai,” katanya.

Kanchana sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk menyertai Dubai Ride pada tahun sebelumnya, namun terlepas tarikh pendaftaran.

Dia bertekad untuk tidak melepaskan peluang sekali lagi pada tahun ini. Bagaimanapun, cabaran timbul apabila dia tidak mempunyai basikal sendiri.

Lebih mengejutkan, Kanchana hanya memperoleh sebuah basikal berwarna merah jambu pada malam sebelum acara berlangsung.

Tanpa sempat menjalani latihan di luar rumah, dia sekadar mencuba menunggang basikal berkenaan di koridor bangunan kediamannya sambil memakai sari.

Pengalaman itu cukup istimewa kerana kali terakhir dia menunggang basikal adalah ketika zaman persekolahan pada tahun 2000.

“Saya tidak mengalami sebarang kesukaran untuk menunggang basikal semula selepas 26 tahun, malah dengan memakai sari,” katanya.

Keesokan harinya, Kanchana mengayuh basikal di sepanjang Jalan Sheikh Zayed dengan mengenakan sari Kerala, blaus merah jambu serta kasut yang sepadan dengan warna blausnya sebagai simbol pemerkasaan wanita.

Malah, dia mengakui berasa begitu bersemangat sehingga menyanyi sepanjang perjalanan.

Kehadirannya turut menarik perhatian peserta lain yang berhenti untuk bergambar bersama, manakala video kayuhannya meraih lebih 430,000 tontonan di Instagram.

Walaupun berlari dan berbasikal dengan memakai sari bukan perkara mudah bagi kebanyakan orang, Kanchana berjaya mengendalikan kain sari sepanjang enam ela itu dengan baik sepanjang menyertai kedua dua acara berkenaan.

Dia turut mengambil kesempatan merakam gambar dan video sebagai kenangan ketika menyertai acara kecergasan terkenal di Dubai yang menghimpunkan orang ramai dalam suasana penuh semangat, perpaduan dan kreativiti.

Menurut Kanchana, keistimewaan Dubai Run bukan hanya terletak pada aktiviti larian, tetapi juga suasana santai dan menyeronokkan yang ditawarkan kepada peserta.

“Itulah yang menjadikan Dubai Run begitu istimewa. Ia bukan acara larian biasa yang terlalu serius. Saya menikmati keseronokan acara ini sama seperti saya menikmati aktiviti berlari,” katanya.

Di sebalik aksi unik tersebut, Kanchana sebenarnya sudah aktif dalam dunia kecergasan sejak beberapa tahun lalu.

Dia merupakan sebahagian daripada pasukan larian kumpulan pelancongan Sanchari UAE dan sering berlari di sekitar taman tasik di Dubai.

Malah, dia turut menyambut hari lahir dengan menyertai aktiviti larian khas bersama kumpulan berkenaan.

Minatnya terhadap aktiviti kecergasan semakin mendalam selepas menyertai cabaran larian sejauh lima kilometer setiap hari selama sebulan sempena kempen Dubai Fitness Challenge 30x30 pada 2024.

Ketika itu, Kanchana baru sahaja pulih daripada influenza dan terpaksa berjalan kaki pada beberapa hari pertama.

Namun, dia tidak berputus asa dan terus meningkatkan kemampuan sehingga berjaya menamatkan cabaran tersebut tanpa terlepas satu hari pun.

“Selepas itu, saya mula berlari secara konsisten. Ketika berlari, saya akan menyusun semua perancangan dalam fikiran,” katanya.

Selain menyertai acara larian separuh maraton dan program Run as One di Dubai, Kanchana turut mengumpul banyak pingat hasil penyertaannya dalam pelbagai acara kecergasan.

Minatnya terhadap disiplin dan aktiviti fizikal pula bermula sejak menyertai Kor Kadet Kebangsaan (NCC) ketika zaman kolej.

Pada 2004, dia pernah menyertai Perbarisan Hari Republik di New Delhi sebagai kadet Sayap Udara NCC, malah berpeluang berbaris di hadapan Presiden India ketika itu, APJ Abdul Kalam.

“Ketika kecil, saya sering menonton perbarisan itu dan sentiasa berharap dapat menyertainya suatu hari nanti. Impian itu akhirnya menjadi kenyataan menerusi NCC,” katanya.

Menurutnya, pengalaman bersama NCC banyak membentuk keperibadiannya selain mendidik dirinya supaya lebih berdisiplin dan yakin.

Kanchana berhijrah ke Dubai 14 tahun lalu dan pada awalnya bekerja dengan sebuah syarikat di Sharjah.

Dia menyimpan impian untuk memiliki perniagaan sendiri sebelum berjaya merealisasikannya dua tahun lalu menerusi penubuhan sebuah syarikat hartanah di Ajman.

Selain aktif dalam bidang perniagaan dan kecergasan, Kanchana turut mempunyai minat dalam pelbagai bidang lain termasuk berenang, bermain kriket, tarian klasik serta lakonan teater dan filem.

Tahun lalu, dia pernah membuat persembahan dalam teater Bombay Tailors bersama pelakon pemenang Anugerah Kebangsaan India, Surabhi Lakshmi dan pelakon serta pengarah terkenal Malayalam, Dileesh Pothan.

Selepas membintangi beberapa filem pendek, Kanchana kini menantikan tayangan dua filem Malayalam lakonannya, iaitu Pazham Chakka dan Moha yang kedua duanya menjalani penggambaran di Dubai.

Dalam pada itu, Kanchana berkata anak perempuannya, Dheera yang menetap di tanah air merupakan sumber inspirasi utama dalam kehidupannya.

Walaupun tinggal bersendirian di Dubai sejak 2020, dia mengakui tidak pernah berasa terancam meskipun sesekali melakukan aktiviti larian pada lewat malam.

“Selepas datang ke sini, saya mula menikmati kebebasan sebagai seorang wanita. Saya juga melalui pelbagai cabaran sendiri, tetapi saya seorang pejuang. Dubai telah membentuk diri saya menjadi seperti hari ini,” katanya.

Intipati
  • Kanchana Nair menarik perhatian apabila menyertai Dubai Run 10 kilometer dengan memakai sari merah.
  • Pemilihan warna pakaiannya dibuat sebagai penghormatan kepada UAE menjelang Hari Kebangsaan ke-55.
  • Pada Dubai Ride, dia turut berbasikal memakai sari Kerala selepas lama tidak menunggang basikal.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan