Padah menunggang motosikal dalam keadaan merbahaya, seorang gadis berusia 17 tahun telah ditahan atas kesalahan terbabit. Gadis tersebut disabitkan atas kesalahan menunggang secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Gadis tersebut telah menyerah diri di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran pada 3 Januari yang lalu. Dia yang hadir bersama bapa saudaranya telah mengaku bersalah melakukan aksi merbahaya berkenaan.
Menurut Ketua Polis Maran, Deputi Superitendan Norzamri Abdul Rahman berkata bahawa gadis berkenaan didapati tidak mempunyai lesen dan telah dikeluarkan saman kepadanya.
Walau bagaimanapun, gadis berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM1,000. Mahkamah juga menetapkan 26 Februari 2019 sebagai tarikh sebutan semula untuk laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM).
Pemilik motosikal yang juga bapa saudaranya turut dikenakan tindakan kerana membenarkan motosikal miliknya ditunggang oleh penunggang yang tidak mempunyai lesen. Kesalahan itu telah diperuntukkan di Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Penahanan gadis berkenaan adalah ekoran daripada tularnya sebuah rakaman yang memaparkan seorang gadis membuat aksi ‘superman’ ketika menunggang motosikal. Rakaman yang berdurasi 1:06 saat itu memaparkan gadis berkenaan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha 15ZR di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).
Sumber: Sinar Harian