Seri Pajam Development Sdn Bhd dan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) memeterai dokumen terma bagi sebuah plot komersial di Bidara Suria, Gadong Jaya di sini, bagi cadangan pembangunan sebuah cawangan runcit MYDIN.
Cadangan itu menyaksikan MYDIN dijangka membuka cawangan dengan keluasan lantai kira-kira 20,000 kaki persegi dan menjadi peruncit utama di hab komersial Bidara Suria.
Dokumen berkenaan ditandatangani di Ibu Pejabat MYDIN oleh Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Wira Ameer Ali Mydin Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Seri Pajam Development Sdn Bhd Ten Wee Seong.
Menurut kenyataan bersama, kerjasama berkenaan selaras dengan usaha MYDIN menyediakan pilihan peruncitan yang mudah diakses kepada komuniti yang sedang berkembang, selain menyokong visi Seri Pajam Development dalam membangunkan perbandaran bersepadu.
Bidara Suria merupakan sebahagian daripada Perbandaran Nada Bidara seluas 129 ekar yang merangkumi pembangunan kediaman Tunas Residensi, Tinta Residensi dan Taman Sentul.
Kawasan itu mempunyai akses ke Seremban 2, Sendayan, Labu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan kawasan tadahan melebihi 80,000 penduduk meliputi Sendayan, Enstek, Labu, Kota Seriemas, Gadong Jaya dan kawasan berhampiran.
Presint komersial Bidara Suria pula merangkumi 113 unit kedai pejabat satu dan dua tingkat serta disokong kemudahan parkir dan akses kejiranan.
Kehadiran MYDIN dijangka meningkatkan aliran pengunjung ke kawasan berkenaan dan menyokong pertumbuhan perniagaan dalam sektor runcit, makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, pendidikan serta perkhidmatan lain.
Ten berkata pembangunan sesebuah perbandaran bukan hanya tertumpu kepada pembinaan kediaman dan ruang komersial tetapi turut perlu mengambil kira pertumbuhan komuniti dalam jangka panjang.
“Sejak awal lagi, Nada Bidara dirancang dengan mengambil kira perspektif jangka panjang ini.
“Kehadiran MYDIN di Bidara Suria akan meningkatkan kemudahan harian penduduk, selain mewujudkan momentum komersial dan peluang lebih besar kepada perniagaan di Gadong Jaya,” katanya.
Menurut kenyataan itu, cadangan cawangan berkenaan memberi peluang kepada MYDIN untuk memenuhi keperluan populasi yang semakin meningkat di salah satu koridor pertumbuhan kediaman dan perindustrian di Seremban.
Bagi Seri Pajam Development pula, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada usaha menjadikan Nada Bidara sebagai perbandaran lebih lengkap dengan pembangunan kemudahan komersial yang bergerak seiring pertumbuhan kawasan kediaman.

