MYDIN Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pencapaian Kolam Berputar Terbesar di Malaysia.
Pengiktirafan itu diberikan sempena sambutan perayaan Deepavali tahun ini, sekali gus mengetengahkan usaha MYDIN menggabungkan warisan budaya dengan kreativiti serta inovasi.

Perkara itu dimaklumkan pada Majlis MYDIN Raih Pengiktirafan MBOR Bagi Kolam Berputar Terbesar di Malaysia di Subang Jaya, hari ini.
Menurut MYDIN, kolam berputar berkenaan merupakan yang pertama diperkenalkan di Malaysia dan menjadi antara inisiatif unik syarikat dalam meraikan kepelbagaian warisan budaya negara.
Katanya, kolam berkenaan berukuran 20 kaki x 20 kaki dan direka dalam bentuk seperti roda dengan gabungan warna yang menarik, corak geometri serta elemen seni tradisional India.

“Konsep kolam berputar ini mengetengahkan tafsiran moden terhadap seni tradisional, sekali gus menjadikannya sebuah tarikan visual yang menyerlahkan keindahan warisan budaya India,” katanya.
MYDIN berkata, pengiktirafan berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk meraikan tradisi kebudayaan menerusi pendekatan kreatif dan inovatif, selain menawarkan pengalaman baharu kepada masyarakat.
Ujarnya, inisiatif itu turut bertujuan memelihara serta mempromosikan seni tradisional, di samping menggalakkan masyarakat menghargai kepelbagaian warisan budaya Malaysia.

Menurutnya, kreativiti dan inovasi mampu menghidupkan amalan tradisional dalam bentuk yang lebih segar serta dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan generasi.
“Pengiktirafan MBOR ini turut mengukuhkan komitmen MYDIN dalam meraikan kepelbagaian budaya, mempererat hubungan masyarakat serta menjadikan sambutan perayaan lebih bermakna untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Kolam berputar berkenaan menampilkan gabungan elemen seni tradisional India dengan mekanisme berputar, sekali gus memberikan kelainan kepada seni kolam yang lazimnya dihasilkan sebagai hiasan sempena sambutan Deepavali.

