Menteri Pertanian Indonesia, Andi Amran Sulaiman berkata, negara-negara yang menjadi destinasi eksport minyak sawit Indonesia mungkin berdepan kesan besar sekiranya kerajaan menghentikan eksport komoditi tersebut dan mengalihkannya bagi memenuhi keperluan tenaga domestik.
Amran berkata kedudukan Indonesia sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia memberikan negara itu kuasa tawar-menawar yang kukuh dalam perdagangan antarabangsa, lapor Kompas.
Selama ini, minyak sawit Indonesia banyak dieksport ke beberapa negara seperti India, China, Pakistan dan Amerika Syarikat.
“Persoalan saya, kalau eksport ini dihentikan, kemudian dijadikan biodiesel untuk kegunaan dalam negara, adakah negara lain akan 'kiamat'? Kiamat, ya. Adakah kesannya lebih dahsyat daripada senjata nuklear atau bom atom? Ya, lebih dahsyat,” kata Amran dalam satu kenyataan bertulis pada Isnin.
Menurut Amran, minyak sawit merupakan komoditi strategik yang mempunyai pengaruh besar terhadap landskap perdagangan dunia.
“Ini contoh bagaimana minyak sawit boleh mengubah dunia. Kesannya jauh lebih dahsyat daripada bom atom. Jauh lebih dahsyat daripada senjata nuklear. Ia boleh mengubah landskap dunia,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan Indonesia sedang berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap negara lain, khususnya dalam memenuhi keperluan makanan dan tenaga.
Dari aspek makanan, Amran berkata, Indonesia telah mencapai tahap sara diri bagi lapan daripada 11 komoditi makanan strategik.
Lapan komoditi tersebut merangkumi beras, jagung untuk makanan ternakan, bawang merah, cili besar, cili padi, daging ayam, telur ayam dan gula untuk kegunaan harian.
Sementara itu, Indonesia masih mengimport kacang soya, bawang putih dan daging haiwan ruminan.
Kerajaan kini sedang berusaha meningkatkan pengeluaran ketiga-tiga komoditi berkenaan supaya negara itu dapat mencapai tahap sara diri dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Amran turut memberi jaminan bahawa jumlah import ketiga-tiga komoditi tersebut tidak melebihi lima peratus daripada keseluruhan keperluan penggunaan domestik.
Berdasarkan Unjuran Imbangan Makanan oleh Badan Pangan Nasional (Bapanas), jumlah keperluan penggunaan bagi 11 komoditi makanan asas strategik dianggarkan mencecah kira-kira 68.8 juta tan.
