Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Indonesia Tegas Belum Bersedia Eksport Elektrik, Keperluan Dalam Negara Perlu Diutamakan

indonesia
Kredit: antaranews

Indonesia belum berhasrat mengeksport bekalan elektrik ke negara lain dalam masa terdekat memandangkan permintaan domestik masih tinggi dan negara itu sendiri memerlukan bekalan tenaga mencukupi.

Menteri Penyelaras Tenaga Hiliran dan Peralihan Tenaga Indonesia, Bahlil Lahadalia berkata, keperluan dalam negara perlu diberikan keutamaan sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung eksport elektrik.

“Indonesia tidak akan dapat mengeksport elektrik dalam masa terdekat. Kita sendiri masih memerlukan elektrik,” katanya ketika merasmikan Konvensyen dan Pameran Mineral dan Arang Batu 2026 (Minerba Convex) di Jakarta, Isnin.

Dalam perkembangan sama, Bahlil turut memberi peringatan kepada Agensi Pengurusan Pelaburan Indonesia (BPI Danantara) supaya tidak terpengaruh dengan sebarang lobi daripada negara luar yang berminat mengimport bekalan elektrik dari Indonesia.

Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM) menjelaskan, kuasa untuk meluluskan permit eksport elektrik terletak di bawah kementeriannya dan bukannya BPI Danantara.

“Saya telah mengingatkan Danantara supaya tidak membiarkan mereka melobi anda. Permit itu terletak di bawah ESDM, bukannya Danantara,” tegasnya.

Menurut Bahlil, kedaulatan dan kuasa negara perlu menjadi keutamaan dalam setiap keputusan berkaitan sektor tenaga.

Beliau turut menegaskan bahawa kedaulatan negara merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi.

Untuk rekod, pada Julai 2026, Bahlil memaklumkan rundingan sedang dijalankan berhubung penetapan harga bekalan elektrik hijau dari Indonesia ke Singapura.

Rundingan itu bertujuan memastikan kedua-dua negara memperoleh manfaat ekonomi yang seimbang menerusi kerjasama perdagangan elektrik rentas sempadan.

Menurutnya, rancangan perdagangan elektrik berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan ekonomi antara Indonesia dan Singapura, khususnya dalam pembangunan tenaga hijau serta peralihan tenaga.

Bagaimanapun, persetujuan mengenai harga menjadi perkara penting sebelum kerjasama itu dapat dilaksanakan.

Bahlil menjelaskan, penetapan harga yang seimbang diperlukan bagi memastikan eksport elektrik memberikan manfaat ekonomi sebenar kepada Indonesia dan bukan sekadar keuntungan komersial.

Dalam pada itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sebelum ini turut melantik BPI Danantara untuk melaksanakan kerjasama perdagangan elektrik rentas sempadan bersama Singapura.

Intipati
  • Indonesia belum berhasrat mengeksport elektrik kerana permintaan domestik masih tinggi dan perlu diutamakan.
  • Bahlil mengingatkan BPI Danantara supaya tidak terpengaruh lobi negara luar berkaitan import elektrik.
  • Rundingan harga elektrik hijau ke Singapura masih berjalan bagi memastikan manfaat ekonomi seimbang.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan