Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia, Indonesia Perlu Berganding Bahu Tangani Jerebu Rentas Sempadan - PM Anwar

jerebu
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan lahan yang mengakibatkan jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan kesihatan serta kehidupan rakyat negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia turut mengusulkan mekanisme kerjasama di peringkat ASEAN bagi memperkukuh penyelarasan, kesiapsiagaan dan tindakan bersama dalam menangani masalah berkenaan.

Menurutnya, perkembangan kebakaran hutan dan lahan di Indonesia terus dipantau berikutan kesannya terhadap rakyat Malaysia, termasuk penutupan sekolah di beberapa negeri dan kawasan.

“Saya ikuti rapat perkembangan masalah kebakaran hutan dan lahan di Indonesia yang turut mengakibatkan jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan kesihatan dan kehidupan rakyat Malaysia, termasuk memaksa penutupan sekolah di beberapa negeri dan kawasan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Anwar mengiktiraf usaha pemerintah Indonesia yang mengerahkan puluhan ribu anggota serta pelbagai aset udara bagi membendung kebakaran yang semakin membimbangkan.

Katanya, usaha menangani bencana itu bukan sesuatu yang mudah, khususnya berikutan keluasan kawasan terjejas dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa cabaran rentas sempadan berkenaan memerlukan komitmen serta tanggungjawab bersama, selaras dengan semangat kejiranan dan hubungan akrab antara Malaysia dengan Indonesia.

“Semangat kejiranan yang sebenar menuntut kita untuk saling mendukung tatkala berdepan musibah, dengan aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat serantau sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Intipati
  • Malaysia bersedia membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan lahan penyebab jerebu rentas sempadan.
  • Anwar berkata jerebu menjejaskan kesihatan rakyat, termasuk memaksa penutupan sekolah di beberapa kawasan.
  • Malaysia mengusulkan kerjasama ASEAN bagi memperkukuh penyelarasan dan tindakan bersama menangani masalah berkenaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan